Huffaz UPM mengaji al-Quran secara maya bersama remaja New Zealand
SERDANG - Pemerkasaan al-Quran dalam kalangan remaja amat penting untuk di ketengahkan bagi melahirkan modal insan yang beramal dan mengaplikasikan al-Quran dalam kehidupan seharian mereka.
Bermula Julai 2021, Kelab Huffaz UPM dengan kerjasama Annur Quranic Centre, MyFundAction, Muslim Youth Development Centre dan Lower Hutt Islamic Centre mengadakan program tahsin al-Quran mingguan antarabangsa iaitu ‘Tea Time Nourishment.’
Ia dijalankan secara maya melalui aplikasi Google Meet yang melibatkan gabungan peserta dari Malaysia dan New Zealand.
Program selama 45 minit itu bermula jam 2.30 petang waktu Malaysia bersamaan 7.30 malam waktu New Zealand.
Berdasarkan perkongsian yang dibuat di laman sesawang UPM, peserta yang menjadi guru al-Quran secara sukarela untuk program ini terdiri daripada gabungan pelajar beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh Malaysia antaranya Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kolej Matrikulasi dan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS).
Katanya, Program ‘Tea Time Nourishment’ dianggap unik kerana menggunakan konsep kesukarelawanan untuk mengajar al-Quran di mana peserta atau sukarelawan akan menjadi guru mengaji kepada pelajar di negara lain iaitu para belia New Zealand.
"Sasaran pelajar dari sana adalah belia Lower Hutt iaitu bandar di bahagian North Island, New Zealand.
"Kelab Huffaz UPM mengambil inisiatif untuk bersama-sama menghidupkan suasana menghafaz al-Quran di UPM berfokuskan untuk melahirkan huffaz profesional yang diiktiraf di peringkat antarabangsa," katanya.
Kelab Huffaz UPM dilancarkan pada 30 Mei 2019 dan dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UPM, Prof Dr M Iqbal Saripan.
Program itu secara tidak langsung menggalakkan penyebaran ilmu merentas benua, tanpa mengira bangsa, menggunakan teknologi terkini yang sedia ada.
Penganjuran program ‘Tea Time Nourishment’ diharap berjaya memberi manfaat kepada peserta yang terlibat, seterusnya membentuk mereka menjadi agen yang mengubah diri dan orang lain untuk berusaha mencapai kejayaan hidup di dunia dan akhirat.