
Ibu bapa, guru perlu kerjasama disiplinkan murid
ARAU - Ibu bapa dan guru perlu bekerjasama dalam usaha mendisiplinkan murid bagi meningkatkan tahap pembelajaran serta prestasi sekolah.
Adun Simpang Empat, Nurulhisham Yaakob berkata, ibu bapa dan guru mempunyai peranan tersendiri bagi membantu membentuk sahsiah diri murid.
Menurutnya, bagi membentuk kerjasama itu, ibu bapa dan guru juga dinasihatkan supaya tidak menuding jari sesama mereka.
“Jika di sekolah masalah murid adalah tugas guru manakala di rumah, ia menjadi tanggungjawab ibu bapa atau waris masing-masing,” katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian bantuan persekolahan bagi mewakili Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Keria, Sanglang dekat ini, 2 Mac 2016.
Bantuan itu diberikan kepada 100 murid tahun satu dan enam yang merupakan penerima bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) melibatkan SK Tambun Tulang; SK Pauh; SK Changkat Jawi; SK Simpang Empat, SK (Agama) Islahiyah Behor Mali dan SK Padang Keria.
Nurulhisham berkata, ibu bapa atau waris juga digesa jangan saling menyalahkan tindakan guru ke atas pelajar bermasalah yang didapati melanggar peraturan sekolah.
“Terdapat kes pihak waris bertindak menyerang guru di sekolah kerana mempercayai bulat-bulat aduan anak mereka yang dihukum guru atau pihak sekolah.
"Pihak ibu bapa pula jangan sekali-kali menghukum anak mereka keterlaluan hingga mereka akhirnya menjadi ‘dahagi’ atau degil tegar," katanya.
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok