HomeBuletinImarah bulan Ramadan, UTM anjur Program 50 Qari 50 Jam

Artikel Berkaitan

Imarah bulan Ramadan, UTM anjur Program 50 Qari 50 Jam

Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia (PIUTM) dengan kerjasama Persatuan Rakan Siswa Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) cawangan UTM telah menganjurkan Program 50 Qari 50 Jam bagi mengimarahkan bulan ramadan.

Program bacaan ayat suci al-Quran oleh 50 Qari selama 50 jam ini yang dilaksanakan selama tiga hari turut diadakan bersempena dengan ulang tahun ke-50 penubuhan UTM.

Pengarah Program, Muhammad Badrul Amin Abdul Rashid berkata, qari yang dipilih terdiri daripada 10 staf, 15 pelajar antarabangsa dan 25 pelajar tempatan.

“Mereka hendaklah mengalunkan bacaan ayat suci al-Quran secara terus-menerus dan bergilir-gilir mengikut giliran yang telah ditetapkan.

“Qari hanya akan berhenti membaca al-Quran pada waktu solat, sahur dan berbuka saja. Mereka dibahagikan kepada lima orang dalam satu kumpulan dan perlulah menghabiskan tiga juzuk ketika mengalunkan pembacaan.

Gambar ihsan daripada UTM.

“Terdapat 10 kumpulan yang akan mengalunkan bacaan dan jika didarabkan dengan tiga juzuk bagi setiap kumpulan, maka akan habislah sebanyak 30 juzuk,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Majlis perasmian 50 Qari 50 Jam disempurnakan oleh Naib Canselor UTM, Profesor Ts Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail di Masjid Sultan Ismail, UTM kampus Johor Bahru.

Turut hadir, Pengarah PIUTM, Profesor Dr Arieff Salleh Rosman dan Timbalannya, Dr Mohd Nasir Masroom.

Menurut Muhammad Badrul lagi, matlamat utama penganjuran program ini adalah sebagai menyokong program Semarak Ramadan 2022 anjuran PIUTM di samping mengimarahkan masjid dengan program bacaan al-Quran.

Gambar ihsan daripada UTM.

Ujarnya, program ini juga menerapkan elemen ISES iaitu Integriti, Sinergi, Kecemerlangan (Excellence) dan juga Kelestarian (Sustainability).

“Pecahan elemen ISES amatlah diterapkan dalam program ini. Para qari seharusnya mempunyai sifat integriti dan juga bersinergi, di mana mereka hendaklah bekerja secara berkumpulan untuk menghabiskan bacaan ini.

“Para pembaca juga seharusnya mempunyai kemahiran membaca serta berpengetahuan dalam aspek ilmu tajwid, iaitu pembacaan al-Quran dengan baik dan betul di samping menghabiskan 30 juzuk al-Quran dalam tempoh yang ditetapkan iaitu tiga hari,” kongsinya lagi.

Artikel Terkini