'Kakak, ummi, ayah pergi selamanya selepas hadiri konvokesyen adik'
Tiga sekeluarga yang maut akibat kemalangan dekat Kampung Sungai Lerek, Setiu, Terengganu sebenarnya dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghadiri majlis konvokesyen di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Ahad.
Ahli keluarga mangsa, Ahmad Kamarul Azrul Eman Kamarudin, 23, berkata, dia tidak menyangka ibu, bapa dan kakaknya ditimpa tragedi itu ketika menuju ke rumah mereka di Jalan Telipot, Kota Bharu, Kelantan.
Menurutnya, kesemua mereka bertolak ke Putrajaya pada malam Khamis lalu, bagi menghadiri konvokesyen adik bongsu, Nur Azwa Shamimi Kamarudin, 21, di Universiti Antarabangsa Unitar (Unitar).
"Kakak ada memuat naik status terakhir di aplikasi WhatsApp menyatakan mereka akan bergerak balik pukul 10.30 malam tadi (Ahad) selepas singgah di rumah abang dekat Negeri Sembilan.
"Saya tak sangka perjalanan pulang umi, ayah, kakak dan adik bongsu akan berakhir dengan tragedi seperti ini," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Setiu pada Isnin.
Kongsi anak keempat daripada lima beradik itu, dia hanya mengetahui kejadian menimpa keluarganya itu selepas dihubungi abang sulung kira-kira jam 6.40 pagi, Isnin.
"Saya rasa terkilan sebab tak sempat tunaikan hasrat untuk belanja mereka makan bagi meraikan kejayaan adik bongsunya kami.
"Sebelum kejadian, mereka semua tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap dan saya sempat bersalam dengan umi buat terakhir sebelum mereka bertolak," katanya dalam nada sebak.
Dalam pada itu, Ahmad Kamarul Azrul Eman berkata, dia turut terkilan kerana kakaknya, Nur Ardiena Kamarudin, 30, tidak sempat melangsungkan perkahwinan yang dijadualkan pada 20 Disember depan.
"Saya rasa terkilan dan sedih sebab majlis dah dirancang dan persiapan telah dilakukan, namun percaturan terbaik hanya daripada ALLAH SWT.
"Saya cuma mampu berdoa yang terbaik buat mereka semua," ujarnya.
Untuk makluman, nahas yang berlaku di Kilometer (km) 53, Jalan Persekutuan Kuala Terengganu - Kota Bharu, turut mengorbankan Maimunah Mat Isa, 54 dan Kamarudin Ibrahim, 55.
Ahmad Kamarul Azrul Eman berkata, adiknya, Nur Azwa Shamimi yang parah di bahagian paha kanan dan kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.
Katanya, ketiga-tiga jenazah ahli keluarganya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kubur Maras, Kelantan.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan tiga beranak maut apabila kereta jenis Perodua Axia yang dinaiki dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda awal pagi Isnin.
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintenden Mohd Zain Mat Dris berkata, dua mangsa kemalangan maut di lokasi kejadian, seorang lagi meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Setiu.