Bermula Januari 2026, kalendar akademik akan kembali asal seperti sebelum ini. Kredit foto: Facebook SK Kg Johan Setia
Bermula Januari 2026, kalendar akademik akan kembali asal seperti sebelum ini. Kredit foto: Facebook SK Kg Johan Setia

Kalendar sekolah asal bermula Januari 2026

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
18 Mar 2024 02:49pm

“Kalendar akademik persekolahan kembali semula bermula Januari 2026.”

Demikian kata Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, di Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sudah menyusun dan mengawal sesi persekolahan dalam kalendar akademik 2025 supaya dapat bermula Februari 2025.

"Kawalan dan perancangan ini dibuat bagi memastikan sesi persekolahan pada 2026 dapat bermula Januari sehingga Disember.

"Pada masa sama, KPM perlu memastikan bahawa penyediaan kalendar akademik adalah berdasarkan Peraturan-Peraturan Pendidikan (Penggal, Hari dan Cuti Sekolah) 1998 (Pindaan) 2021 yang menetapkan bahawa jumlah hari persekolahan dalam kalendar akademik hendaklah tidak kurang daripada 190 hari,” ujarnya.

Kenyataan itu sebagai menjawab pertanyaan Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) berkaitan hasrat kementerian bagi mengembalikan semula kalendar persekolahan sebagaimana terdahulu bermula sesi baru Januari sehingga Disember.

Kah Woh berkata, KPM akan mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan mengenai perkara tersebut.

"Pihak berkepentingan iaitu kesatuan atau persatuan keguruan termasuk Kesatuan Perkhidmatan Keguruan Kebangsaan (NUTP), Kesatuan Guru Sarawak (STU) dan Kesatuan Guru Kerajaan Sabah bersama-sama untuk mendapatkan maklum balas berhubung penyediaan draf kalendar akademik tahun 2025 dan draf kalendar akademik tahun 2026 sebelum diangkat untuk pewartaan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau turut berkata, KPM akan memastikan kalendar akademik yang disediakan memenuhi tempoh pengajaran dan pembelajaran secara optimum iaitu antara 32 hingga 36 minggu bagi menyelesaikan keseluruhan kurikulum persekolahan.

"Penjajaran kepada jadual peperiksaan awam juga akan dilaksanakan supaya selari dengan perubahan kalendar akademik persekolahan," katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp