846245
846245

Kehadiran murid tidak lagi dilaksanakan secara berperingkat

Mohd Khairi Mohamad Yusri
09 Nov 2021 10:51am
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini menetapkan kehadiran murid ke sekolah di bawah institusi pendidikan di bawah kementeriannya tidak lagi dilaksanakan secara berperingkat.

KPM menerusi satu kenyataan media bagaimanapun memaklumkan pengoperasian sekolah masih mengekalkan kaedah penggiliran.

"KPM sentiasa memantau dan meneliti keadaan semasa pengoperasian sekolah secara bersemuka semenjak dibuka semula bermula 3 Oktober lalu," menurut kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan tersebut, KPM mendapati dapatan daripada pemantauan dan penelitian menunjukkan bahawa pengoperasian sekolah berjalan dengan lancar serta teratur mengikut Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0.

"Institusi pendidikan bawah KPM dalam merujuk kepada institusi pendidikan swasta yang berdaftar bawah KPM bagi kategori sekolah dan kategori pusat," tambah kenyataan tersebut.

Susulan peralihan fasa empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi Kedah kementerian itu berkata, kemasukan murid tahun satu hingga tahun enam di sekolah rendah serta kelas peralihan dan tingkatan satu hingga tingkatan empat di sekolah menengah adalah pada 21 November ini.

Bagi Perak, Perlis, Pulau Pinang dan Sabah yang turut beralih ke fasa empat, pengoperasian bermula 22 November.

"Kehadiran murid dalam kumpulan tersebut di sekolah harian adalah mengikut kaedah penggiliran manakala kehadiran murid di sekolah asrama sepenuhnya adalah tanpa penggiliran," katanya.

Menurut KPM, perincian mengenai kemasukan murid sekolah asrama sepenuhnya akan dimaklumkan oleh pihak sekolah kepada ibu bapa dan penjaga.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok