Untitled (7)
Untitled (7)

Kemasukan fizikal ke kampus secara berperingkat bermula 15 Oktober 2021

Nor Azma  Muhamat Laila
14 Sep 2021 03:16pm
A
A
A

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan melaksanakan kemasukan pelajar ke kampus secara berperingkat sepertimana diluluskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bermula 15 Oktober 2021.

Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata kemasukan pelajar yang lengkap divaksin ke institusi pengajian tinggi (IPT) ini melibatkan semua kategori pelajar dan semua Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) di mana keutamaan diberikan kepada pelajar berkeperluan.

Menurut beliau, keputusan ini dibuat setelah mengambil kira input sesi libat urus bersama-sama MKN, Kementerian Kesihatan (KKM), pengurusan IPT yang merangkumi Naib Canselor, Timbalan Naib Canselor dan wakil-wakil perasatuan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) serta Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan wakil kesatuan/persatuan pelajar.

"Hanya pelajar, staf akademik dan bukan akademik yang telah mendapat suntikan dos vaksin lengkap dan melepasi tempoh keberkesanan selepas divaksin saja dibenarkan masuk ke kampus.

"Perkara ini adalah tertakluk kepada kapasiti IPT dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sebagai satu langkah membentuk imuniti kelompok dan persekitaran yang selamat di kampus," katanya pada sidang media pengumuman kemasukan pelajar ke kampus IPT secara berperingkat, hari ini.

Kata Noraini lagi, bagi melancarkan proses kemasukan pelajar ini, KPT dengan kerjasama Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) sedang giat melaksanakan Program VACC2Campus untuk meningkatkan jumlah warga IPT yang mendapat vaksinasi lengkap sebelum kampus dibuka.

 

"Sehingga kini, sebanyak 68 peratus pelajar dan 90 peratus kakitangan IPT telah lengkap divaksin dan KPT mengunjurkan 100 peratus warga IPT yang berdaftar dengan mySejahtera akan menerima suntikan lengkap menjelang hujung Oktober 2021.

"Oleh itu, saya menyeru semua pelajar dan kakitangan IPT yang masih belum divaksin untuk segera berbuat demikian menerusi kaedah walk-in di mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terdekat," ujar beliau.

Bagi pelajar yang tidak boleh divaksin atas faktor kesihatan, mereka diminta untuk menghubungi IPT masing-masing untuk penyelarasan.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai pergerakan pelajar ke kampus, Noraini berkata, memandangkan pergerakan pelajar adalah dalam jumlah yang besar, ia akan dibuat berdasarkan kepada dua perkara yang ditetapkan KPT.

"Bagi IPT di Semenanjung, hanya surat kebenaran kembali ke kampus daripada IPT diperlukan.

"Bagi IPT di Sarawak, Sabah dan Labuan, adalah tertakluk kepada SOP yang dikuatkuasakan oleh kerajaan negeri masing-masing dan pelajar perlu mendapatkan surat tawaran kebenaran rentas daerah/negeri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan menjalani ujian swab RT-PCR yang akan diberikan secara percuma di klinik-klinik kesihatan kerajaan," tuturnya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata, atas dasar keprihatinan KPT terhadap bebanan keluarga dan pelajar, kementerian juga bersetuju mengurangkan sebanyak 20 peratus yuran pengajian bagi semua pelajar warganegara yang mengikuti pengajian di universiti awam (UA).

"Ia membabitkan pengajian bagi Semester 1 Sesi 2021/2022 yang bakal memanfaatkan seramai 555,340 pelajar dengan nilai keseluruhan RM175 juta," katanya lagi.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok