Untitled (2)
Untitled (2)

Kerajaan tidak pernah lepas tangan isu institusi Pendidikan Islam

Nor Azma  Muhamat Laila
05 Oct 2021 07:02pm
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri tidak pernah mengambil pendekatan lepas tangan atau meminggirkan institusi Pendidikan Islam sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

Ketua Pengarah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Abdul Aziz Jusoh, berkata sejak awal penularan pandemik Covid-19 melanda negara, JAKIM telah berusaha mencari jalan untuk menjaga dan memastikan keselamatan warga institusi Pendidikan Islam khususnya pondok, tahfiz dan sekolah agama yang berada di bawah penyelarasan Lembaga Penasihat Penyelarasan Pendidikan dan Pelajaran Agama Islam (LEPAI).

Menurut beliau, menerusi kerjasama dengan pihak-pihak berwajib seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kerajaan telah mengambil langkah segera melaksanakan saringan bagi mengesan dan menyekat penularan Covid-19 dalam kalangan warga institusi tersebut.

"Kerajaan juga mengambil tanggungjawab menyediakan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi memudahkan rujukan dan panduan oleh institusi yang dijangkiti Covid-19.

"Menyedari pentingnya pendidikan kepada murid dan pelajar di institusi tersebut, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan JAKIM telah menerbitkan Garis Panduan Pengurusan Pengoperasian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain dan Sekolah Agama Dalam Norma Baharu sebagai rujukan kepada institusi Pendidikan Islam untuk beroperasi.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Abdul Aziz Jusoh.

"Namun tidak dinafikan, terdapat beberapa institusi ini yang menghadapi kesulitan untuk meneruskan operasinya atas pelbagai sebab antaranya ialah kekangan kos pengurusan," kata beliau.

Beliau berkata demikian bagi merujuk kenyataan segelintir pihak yang membuat dakwaan bahawa kerajaan meminggirkan institusi Pendidikan Islam sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

Tambah Abdul Aziz lagi, tahun 2021 ini kerajaan persekutuan melalui JAKIM telah menyalurkan bantuan berjumlah RM60 juta kepada 1,066 buah institusi ini sehingga Ogos 2021.

Katanya, sebanyak RM244,400 telah disumbangkan melalui Tabung Musaadah Covid-19 JAKIM-YWM malah JAKIM juga pada ketika ini sedang berusaha dengan pelbagai cara bagi membantu institusi Pendidikan Islam agar dapat melangsungkan operasinya demi anak bangsa.

"JAKIM menaruh harapan dan keyakinan tinggi bahawa kerajaan pada masa kini akan memberi perhatian sewajarnya terhadap semua pihak dan tidak mungkin akan meminggirkan mana-mana pihak selaras dengan slogan “Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera.”

"Kami juga amat mengharapkan sokongan dan dokongan daripada semua pihak khususnya warga institusi Pendidikan Islam untuk sentiasa berdoa agar usaha JAKIM dipermudahkan," jelas beliau.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok