WhatsApp Image 2021-06-17 at 4.37.18 PM
WhatsApp Image 2021-06-17 at 4.37.18 PM

Peluang membantu golongan yang memerlukan

webadmin
17 Jun 2021 09:11am
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiger dan 99 Speedmart bekerjasama mengumpul dana untuk Teach for Malaysia (TFM), sebuah organisasi yang menyediakan pendekatan pendidikan bukan berasaskan keuntungan dalam usaha sebahagian daripada inisiatif untuk memberi kesamarataan akses pendidikan kepada pelajar-pelajar yang memerlukan.

TFM komited melaksanakan pendekatan pendidikan yang memperkasakan para pelajar menjadi pengemudi pembelajaran dan masa hadapan mereka serta menyumbang kepada masa depan negara.

Menurut Ketua Pemasaran, Malaysia dan Singapura, Mondelez International, Arpan Sur, pandemik Covid-19 telah memberi impak kepada proses pembelajaran pelajar apabila penutupan sekolah dilanjutkan dari hari ke hari.

“Dalam situasi hari ini, sama ada menghadiri kelas fizikal dengan memakai pelitup muka, mahupun peralihan kepada pembelajaran dalam talian, para pelajar harus menyesuaikan diri dengan norma baharu e-pembelajaran.

“Menyedari cabaran berkaitan pembelajaran maya atau e-learning, kami berharap sumbangan ini dapat membantu TFM dalam mempertingkatkan kemahiran serta melatih tenaga pengajar mereka dalam norma baharu, menerusi pendekatan pendidikan dalam talian,” ujarnya.

Sehubungan itu, bermula 1 Jun hingga 31 Julai 2021, Mondelez International (Malaysia) menerusi Tiger akan menyumbangkan RM0.15 kepada TFM bagi setiap pembelian pek produk tiger iaitu Tiger Midpack 159.6g/175g, Multipack 411.6g, dan Tiger Marie 249.7g di mana-mana cawangan 99 Speedmart di Semenanjung, Malaysia.

Dalam pada itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Teach for Malaysia (TFM), Chan Soon Seng, menyatakan inisiatif bersama Tiger dan 99 Speedmart adalah usaha sama bagi memartabatkan pendidikan negara.

“Setiap pelajar berhak dibekalkan dengan pendidikan yang berkualiti dan inisiatif ini sudah pasti bagi memperkasakan lagi tenaga pengajar TFM dalam memastikan kestabilan negara terjamin melalui pendidikan.

“Maka, kerjasama baik antara Tiger dan 99 Speedmart akan menambahkan dana kami dalam usaha melahirkan tenaga pengajar yang professional dari segi kemahiran, peralatan sokongan dan pengetahuan yang secukupnya,” tambahnya lagi.

Menerusi kerjasama itu, Tiger dan 99 Speedmart menyasarkan sebanyak RM50,000 dan ia bertujuan pengajaran dan pembelajaran para pelajar daripada kalangan keluarga B40.

Oleh itu, TFM bertekad untuk melaksanakan tanggungjawab dengan baik demi memastikan proses pembelajaran berjalan dengan lancar tanpa wujudnya tekanan fizikal, mental dan emosi pelajar.

Menerusi kempen ini juga, 99 Speedmart berhasrat untuk terus menyumbang kepada masyarakat dan berharap lebih banyak jenama yang akan tampil untuk bersama-sama memacu perubahan positif untuk negara.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok