Kes babit pelajar dengan kumpulan samseng, ini kata Mahdzir Khalid kepada guru besar dan pengetua
Kes babit pelajar dengan kumpulan samseng, ini kata Mahdzir Khalid kepada guru besar dan pengetua

Kes babit pelajar dengan kumpulan samseng, ini kata Mahdzir Khalid kepada guru besar dan pengetua

Azliyana Sulaiman
31 Dec 2020 01:23am
A
A
A

KANGAR - Kementerian Pendidikan tidak akan campur tangan dalam hal pelajar yang telah menjadi kes polis dan akan diselesaikan mengikut saluran undang-undang.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pengetua dan guru besar khususnya, diingatkan supaya tidak melindungi sebarang perbuatan pelajar yang menyalahi undang-undang atau disiplin sekolah.

“Kementerian sentiasa memandang serius pembabitan pelajar dengan kumpulan samseng, penyalahgunaan dadah, bahan-bahan terlarang dan sebagainya.

“Kita akan tolong selagi boleh termasuk memberi kaunseling,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Malaysia ke-56 di sini, semalam.

Beliau mengulas tindakan polis memberkas 13 pelajar sebuah sekolah menengah di Klang yang terbabit dengan aktiviti kumpulan samseng, kelmarin.

Mahdzir berkata, walaupun penglibatan pelajar dengan kumpulan samseng masih terkawal, namun ibu bapa perlu mengambil berat dan mengetahui aktiviti anak-anak mereka selepas waktu sekolah.

Dalam ucaptamanya, Mahdzir berkata, kes pelajar terlibat dengan kumpulan samseng berlaku di kawasan tertentu sahaja, manakala pengambilan air ketum lebih banyak di negeri di utara Semenanjung Malaysia.

Dalam isu lain, beliau berkata, Kementerian Pendidikan akan memperkemaskan silibus mata pelajaran Sejarah untuk mengisi ‘lompang’ lima tahun dari tarikh kemerdekaan negara pada 1957 sehingga Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia pada 1963.

Katanya, banyak fakta tidak dimasukkan menyebabkan generasi sekarang tidak memahami dengan jelas mengenai penyertaan Sabah dan Sarawak dalam Malaysia.

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok