
Kesilapan pemaparan Jalur Gemilang, KPM mohon maaf!
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memohon maaf atas kesilapan pemaparan Jalur Gemilang dalam Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seperti yang diedarkan hari ini.
Menurut kenyataan media KPM, kecuaian itu tidak boleh diterima kerana Jalur Gemilang adalah lambang kebesaran dan kedaulatan negara.
Maklum mereka, tindakan tegas dan serta merta telah diambil ke atas semua yang terlibat malah siasatan terperinci juga sedang dilaksanakan.
"Laporan analisis yang dicetak telah diminta untuk dikembalikan semula dan pembetulan segera sedang dilakukan," kongsi KPM pada Khamis.
Terdahulu kesilapan pemaparan Jalur Gemilang janaan kecerdasan buatan (AI) dikesan di muka surat 14 dan 15 dalam Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan SPM 2024 yang diedarkan semasa sidang akhbar pada pagi Khamis.
Dokumen itu turut dimuat naik ke laman sesawang jam 10 pagi namun diturunkan selepas KPM menyedari kesilapan berkenaan.