mara3
mara3

Kolej Profesional Mara Bandar Melaka serah sumbangan untuk golongan asnaf di Langkawi

Nor Azma  Muhamat Laila
04 Mar 2022 09:07pm
A
A
A

Sempena sambutan Hari Mara pada awal Mac lalu dan Israk Mikraj, Unit Hal Ehwal Ugama dan Dakwah, Kolej Profesional Mara Bandar Melaka (UHUD KPMBM) dengan kerjasama Pejabat Zakat Langkawi dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) mengadakan program Musa'adah dan Promosi KPMBM di Pulau Tuba, Langkawi, baru-baru ini.

Program yang turut mendapat sokongan daripada pihak Masjid Pulau Tuba dan warga masyarakat setempat itu diadakan bertujuan untuk menyerahkan sumbangan barang keperluan asas dan wang tunai kepada golongan asnaf yang terpilih.

Kunjungan itu turut mengadakan aktiviti ziarah kasih ke rumah pelajar asnaf yang sedang belajar di bawah tajaan Pejabat Lembaga Zakat Negeri Kedah.

Menurut Ketua Rombongan Program Musa'adah dan Promosi KPMBM, Khairul Haniza Ibrahim, beliau melahirkan rasa syukur dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakan kunjungan ke Langkawi itu.

"Saya kagum dengan kejayaan anak-anak Pulau Tuba yang berjaya melanjutkan pengajian di peringkat yang lebih tinggi dan menjawat jawatan dalam pelbagai sektor pekerjaan awam dan swasta sekali gus membuktikan warga Pulau Tuba tidak ketinggalan dan mampu bersaing dalam dunia pekerjaan.

"Saya berharap program sebegini akan dapat diteruskan di masa depan kerana ia bukan saja mengeratkan silaturahim tetapi juga memberi peluang kepada warga kolej untuk kembali menyumbang kepada masyarakat," katanya ketika berucap merasmikan majlis rombongan berkenaan.

Turut hadir, Pengarah YADIM Melaka, Muzafar Ab Rahim; Pegawai Zakat Langkawi, Yusuf Ahmad; Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar (HEP) KPMBM, Norazhar Abdul Hamid dan Guru Takmir Pulau Tuba, Hadai Taib.

Sementara itu, salah seorang peserta rombongan, Muhammad Aiman Firdaus Kharuddin berkata, dia sangat bersyukur dan merasa bertuah kerana terpilih menyertai program pada kali ini.

"Pengalaman ini sangat berharga buat saya kerana bukan saja dapat menjayakan aktiviti kemasyarakatan dan kepimpinan peringkat kolej tetapi turut berpeluang membantu golongan asnaf yang memerlukan," ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok