HomeBuletinKolej Tingkatan Enam Petaling Jaya johan pertandingan reka cipta busana

Artikel Berkaitan

Kolej Tingkatan Enam Petaling Jaya johan pertandingan reka cipta busana

PETALING JAYA – Kolej Tingkatan Enam Petaling Jaya dinobatkan sebagai juara keseluruhan Pertandingan Reka Cipta ‘Busana Cerminan Budaya Malaysia’ Peringkat Kebangsaan yang diadakan secara dalam talian, baru-baru ini.

Kemenangan itu membolehkan Kolej Tingkatan Enam Petaling Jaya membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, piala dan sijil.

Tempat kedua turut menjadi milik satu lagi pasukan dari Kolej Tingkatan Enam Petaling Jaya menerusi rekaan unik mereka ‘Rimbun’ manakala tempat ketiga disandang oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Asajaya, Sarawak, yang mengetengahkan rekaan ‘Anta Permana.

Masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM800 dan RM600, piala serta sijil.
Selain itu, Kolej Tingkatan Enam Petaling Jaya juga dipilih sebagai pemenang Kategori Persembahan Pembentangan Terbaik melalui rekaan busana ‘Buka Cerita’.

Pertandingan Reka Cipta ‘Busana Cerminan Budaya Malaysia’ Peringkat Kebangsaan itu dianjurkan oleh Majlis Pelajar Tingkatan Enam (MPTE) dan Kelab Pengatur Acara Kolej Tingkatan Enam Petaling Jaya.

Barisan urusetia yang menjayakan Pertandingan Reka Cipta ‘Busana Cerminan Budaya Malaysia’ Peringkat Kebangsaan bergambar bersama guru-guru.

Program berkenaan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada sekolah-sekolah Tingkatan Enam di seluruh negara apabila menerima 21 penyertaan yang melibatkan 149 orang pelajar.

Setiap karya yang dihasilkan pelajar pula dinilai oleh barisan juri yang terdiri daripada nama-nama besar dalam industri seni seperti pelakon dan penulis lirik terkenal Che Kem; penulis dan pengkaji budaya, Zubaidah Sual; usahawan terkenal Mona Din; pereka fesyen dari Sabah, Fikri Gompul dan pereka fesyen muda, Megat Amirul Ashraf.

Majlis perasmian penutup pertandingan itu disempurnakan oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Mazlin Mazlan.

Pengurus Pertandingan Reka Cipta ‘Busana Cerminan Budaya Malaysia’, Cikgu Aznida Aziz berkata, objektif utama program berkenaan ialah melahirkan pelajar yang mempunyai kemahiran memimpin, memupuk kemahiran komunikasi dan mengasah bakat seni dalam diri pelajar.

“Kalau kita berdiam diri dan menunggu keadaan pulih daripada pandemik Covid-19, pelajar-pelajar kita akan rugi dari segi pengalaman. Jadi, kami di Kolej Tingkatan Enam Petaling Jaya mahu mendedahkan pelajar kami dengan ilmu dan norma baharu dalam mengelolakan sesuatu program.”

“Bagi pertandingan ini, peserta dikehendaki bekerja secara berkumpulan untuk menghasil lakaran fesyen yang menggabungkan elemen tradisional pelbagai etnik, menulis dan membentangkan kajian dan rekaan mereka,” katanya.

Pengetua Kolej Tingkatan Enam Petaling Jaya, Ghumiat Kamdi.

Sementara itu, Pengetua Kolej Tingkatan Enam Petaling Jaya, Ghumiat Kamdi menyokong penuh usaha pelajar-pelajarnya menganjurkan pertandingan tersebut walaupun mereka tiada latar belakang pendidikan seni.

“Setakat ini, kolej kami tidak menawarkan mata pelajaran Seni Visual tapi pelajar-pelajar ini nampaknya faham kekangan dan risiko menganjurkan pertandingan dalam bidang yang bukan kepakaran mereka.

“Sebagai pendidik, saya melihat sifat suka mencabar diri ini ada dalam diri pelajar-pelajar ini sekali gus menjadi sebagai satu faktor yang boleh melahirkan masyarakat yang dinamik di masa depan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mazlin dalam ucapannya berkata sikap berani mencuba ini bukan sahaja membuka peluang pelajar untuk menerokai sesuatu yang baharu tetapi ia juga menanam sifat empati terhadap orang lain.

Beliau juga yakin melalui kajian yang dibuat, golongan remaja dapat memupuk kefahaman dan kecintaan terhadap warisan bangsa sejajar dengan hasrat KPM untuk menghasilkan pelajar yang dibangunkan dengan identiti nasional yang kukuh.

Artikel Terkini