Untitled (28)
Untitled (28)

Konvokesyen: MSU rai 4,144 graduan

Nor Azma  Muhamat Laila
21 Nov 2021 06:18pm
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 4,144 graduan daripada 124 program pengajian diraikan pada Majlis Konvokesyen Management and Science University (MSU) ke-28 yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini.

Daripada jumlah itu, seramai 37 graduan menerima ijazah doktor falsafah (PhD), sarjana (62), sarjana muda (2,045) dan diploma (2,000).

Majlis konvokesyen yang tertangguh semenjak Februari lalu dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) berdasarkan garis panduan yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) serta selaras dengan pelaksanaan Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Presiden MSU, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid berkata, sempena konvokesyen kali ini, MSU memperkenalkan teknologi blockchain bagi mengenalpasti ketulenan skrol akademik yang dikeluarkan universiti berkenaan.

Menurut beliau, bagi tujuan pengesahan sama ada sijil itu tulen atau palsu, satu aplikasi sudah dibangunkan dan boleh dimuat turun oleh pengguna menerusi telefon pintar masing-masing untuk mengimbas kod QR yang terdapat pada skrol.

"MSU menjadi satu-satunya universiti yang memperkenalkan teknologi blockchain untuk sijil akademik membabitkan semua program dan peringkat pengajian iaitu PhD, Sarjana, Sarjana Muda dan Diploma.

"Universiti membuat keputusan memperkenalkan teknologi ini kerana terdapat beberapa isu yang timbul bukan hanya di Malaysia tetapi di seluruh dunia berkaitan kelulusan palsu.

"Kita juga mempunyai pusat kecemerlangan dikenali dengan nama Cybersecurity and Big Data yang akan menjalankan penyelidikan dan pembangunan mengenai blockchain di Malaysia sekali gus memberi peluang kepada MSU menjadi 'front runner' untuk teknologi baharu ini," katanya pada sidang akhbar hari ini.

Majlis Konvokesyen MSU ke-28 menyaksikan lima kategori anugerah khas kecemerlangan diberikan kepada 67 graduan bagi mengiktiraf pencapaian keseluruhan mereka sepanjang tempoh pengajian dalam bidang masing-masing.

Graduan Bachelor in International Business (Hons), Mohd Sufyan Shamsir dipilih sebagai penerima Anugerah Pingat Emas Canselor manakala Mohd Shukri Yajid Outstanding Award dianugerahkan kepada Muhammad Ali Jaleel, Mathavan Thiyagarajah dan Muhammad Syamil Muhammad.

Seramai 43 graduan pula menerima Anugerah Akademik manakala 17 orang menerima Anugerah Industri.

Sementara itu, Mohd Sufyan berkata, rahsia kejayaan dirinya ialah sering menjadikan proses pembelajaran itu sebagai sesuatu perkara yang menyeronokkan serta merebut setiap peluang yang disediakan universiti terutama membabitkan penyertaan dalam aktiviti kokurikulum.

Mohd Sufyan Shamsir (kiri) yang dipilih sebagai penerima Anugerah Pingat Emas Canselor bergambar bersama Prof Mohd Shukri dan ibunya, Moriati Mohamed.

"MSU adalah universiti yang sentiasa menyediakan paltform kepada pelajarnya untuk mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti di dalam dan luar kampus, tetapi tidak semua mahasiswa memilih untuk merebut peluang berkenaan.

"Saya memang seorang yang gemar mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti dan tidak dinafikan akan ada rasa penat atau tertekan, tetapi semuanya bergantung kepada niat kita. Pada penghujung harinya, jika niat kita betul, semua yang dilakukan itu akan rasa berbaloi," ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok