Hui Ying
Hui Ying

KPM tawar Program Diploma Pendidikan Prasekolah kepada guru tadika swasta

ROSHLAWATY MD RAIEH
07 Apr 2023 10:42am
A
A
A

Kementerian Pendidikan (KPM) menyasarkan semua guru yang mengajar di kelas prasekolah mempunyai kelayakan minimum sekurang-kurangnya diploma selaras dengan hasrat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying, mesyuarat Jemaah Menteri pada 1 April 2016 telah bersetuju supaya KPM memberi keutamaan kepada guru prasekolah yang mempunyai kelayakan akademik pada tahap Diploma dalam Pendidikan Awal Kanak-kanak (DPAKK).

“Selaras dengan hasrat ini, kenyataan media bertarikh 24 Ogos 2016 telah dikeluarkan KPM bagi memaklumkan bermula 2017, pengambilan guru baharu prasekolah oleh semua agensi pelaksana perlu memenuhi syarat yang telah ditetapkan dengan mempunyai sekurang-kurangnya DPAKK,” kata Hui Ying.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Datuk Dr Nelson Renganathan di Dewan Negara pada Khamis.

Sementara itu, bagi memastikan lebih ramai guru di tadika swasta mempunyai kelayakan akademik minimum tersebut, KPM telah menawarkan Program Diploma Pendidikan (PDP) Prasekolah di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPG) di seluruh negara kepada guru tadika swasta yang sedang berkhidmat.

“Kursus selama dua tahun ini dilaksanakan secara pembelajaran teradun bagi memastikan perkhidmatan guru tidak terjejas sepanjang mengikuti program terbabit.

“Selain itu, KPM turut mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) untuk sama-sama meneliti kandungan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) iaitu program pengajian kendalian jabatan tersebut.

“Antara perkara yang diteliti adalah kesesuaian kandungan pedagogi DKM untuk dipraktikkan di prasekolah KPM atau tadika swasta yang berdaftar dengan KPM,” ujar Hui Ying.

Artikel Berkaitan:

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok