Dr Wan Azizah bersama para penerima sumbangan sempena Program Ceria ke Sekolah bersama ERM.
Dr Wan Azizah bersama para penerima sumbangan sempena Program Ceria ke Sekolah bersama ERM.

KPM tumpu dua fokus utama pada sesi persekolahan 2026 - Fadhlina

05 Jan 2026 10:22am

Pelaksanaan kurikulum prasekolah baharu serta pelancaran Pelan Pembangunan Pendidikan, antara dua fokus utama Kementerian Pendidikan (KPM) pada sesi persekolahan 2026.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, 2026 menjadi tahun penting susulan pengembalian semula sesi persekolahan kepada Januari, selain pelaksanaan awal kurikulum prasekolah yang sepatutnya bermula pada 2027.

"Tumpuan KPM adalah untuk pelaksanaan kurikulum prasekolah. Yang kedua ialah Pelan Pembangunan Pendidikan baharu yang akan diluncurkan pada Januari," katanya ketika menghadiri Program Ceria ke Sekolah bersama ERM Foundation bagi Parlimen Bandar Tun Razak di Seri Kembangan, Selangor.  

Turut hadir pada program itu ialah Ahli Parlimen Bandar Tun Razak yang juga isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin.

Dalam pada itu, Fadhlina menyifatkan program bantuan persekolahan itu sebagai amat bermakna dalam membantu meringankan beban ibu bapa membuat persiapan persekolahan anak-anak.

Seramai 800 murid menerima bantuan pada program tersebut manakala keseluruhan penerima bantuan persekolahan di Parlimen Bandar Tun Razak melibatkan kira-kira 5,000 murid.

Beliau berkata, inisiatif sedemikian selari dengan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan kebajikan pendidikan anak-anak terus terbela serta kesiapsiagaan persekolahan dapat dipertingkatkan.

Sementara itu, Dr Wan Azizah berkata, program berkenaan mencerminkan keprihatinan pelbagai pihak dalam membantu golongan kurang berkemampuan, khususnya dalam membuat persiapan persekolahan anak-anak.

Artikel Berkaitan:

"Alhamdulillah, pada kesempatan ini kita dapat bersama-sama dalam satu program yang cukup bermakna apabila kita dapat menyampaikan sedikit sumbangan kepada mereka yang kurang berkemampuan.

"Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk menyatakan penghargaan kepada ERM Foundation selaku penaja program atas komitmen dan sokongan yang berterusan kepada anak-anak muda," katanya ketika berucap pada program berkenaan.

Sementara itu, Pengasas ERM Foundation, Xin Er berkata, inisiatif bertujuan membantu kanak-kanak kurang berkemampuan dengan menyediakan bantuan kewangan dan kelengkapan persekolahan asas, yang menyaksikan setiap pelajar menerima RM300.

Inisiatif tersebut yang menyediakan bantuan kewangan serta kelengkapan persekolahan kepada pelajar di Parlimen Bandar Tun Razak, bertujuan membantu kanak-kanak kurang berkemampuan menghadapi sesi persekolahan baharu dan berharap program dapat dijadikan acara tahunan. - Bernama

 

 

Ringkasan AI

  • Pelaksanaan kurikulum prasekolah baharu dan Pelan Pembangunan Pendidikan merupakan fokus utama Kementerian Pendidikan pada 2026
  • Kurikulum prasekolah yang sepatutnya bermula pada 2027 akan dilaksanakan lebih awal pada tahun yang sama sesi persekolahan kembali ke bulan Januari
  • Program bantuan persekolahan di Parlimen Bandar Tun Razak membantu meringankan beban ibu bapa dengan menyediakan bantuan kepada murid-murid
  • Seramai 800 murid menerima bantuan dalam program bantuan persekolahan ini, dengan jumlah keseluruhan penerima di Parlimen Bandar Tun Razak adalah sekitar 5,000 murid
  • ERM Foundation membantu kanak-kanak kurang berkemampuan dengan menyediakan bantuan kewangan RM300 dan kelengkapan persekolahan kepada setiap pelajar
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp