WhatsApp Image 2021-07-12 at 15.01.36
WhatsApp Image 2021-07-12 at 15.01.36

KTJ berada dalam kedudukan 20 sekolah antarabangsa terbaik, mendapat tempat di Oxbridge

webadmin
12 Jul 2021 05:59pm
A
A
A

Mantin - Kolej Tuanku Ja'afar (KTJ) telah disenaraikan dalam kelompok 20 buah sekolah yang bertaraf antarabangsa di seluruh dunia berikutan memperoleh tawaran Oxbridge yang tertinggi sejak tiga tahun lepas.

Antara semua kolej Oxbridge, pelajar-pelajar dari KTJ telah memperoleh kejayaan besar dalam permohonan mendapatkan tempat di Kolej Newnham, Cambridge sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Menurut Pengetuanya, Dr Glenn Moodie, pihaknya berasa bangga kerana tersenarai antara sekolah bertaraf antarabangsa yang berprestij.

Tambah beliau, walau apa pun aspirasi pelajarnya, matlamat utama KTJ adalah untuk memastikan mereka mendapat tawaran dari universiti yang membanggakan.

Selama 30 tahun yang terakhir, KTJ telah mengibarkan bendera untuk pendidikan holistik dengan memberi penekanan kepada perkembangan pelajarnya supaya menjadi pemimpin global yang penuh bertanggungjawab.

“Kami pastinya berbangga dengan tawaran yang diterima pelajar setiap tahun dari universiti-universiti bertaraf tinggi di United Kingdom, Amerika Syarikat dan seluruh dunia.

“Kakitangan kami turut meluangkan masa dan tenaga dalam membimbing serta menyokong pelajar membuat pilihan universiti yang sesuai untuk mereka,” katanya.

Berdasarkan kedudukan dalam kalangan sekolah antarabangsa, sekolah awam dan sekolah swasta, KTJ berada di kedudukan ke-8 tertinggi dalam kejayaan mendapatkan tawaran dari Kolej Newnham yang ditubuhkan pada tahun 1871.

Sementara itu, ujar Pengarah Tingkatan Enam KTJ, Puan Wendy Jones, pihaknya gembira kerana turut diiktiraf sebagai sekolah antarabangsa yang terulung dalam tawaran ke universiti Oxbridge.

KTJ tersergam megah di kampus seluas 80 ekar yang dikelilingi pemandangan hijau. Kemudahan sukan dan akademik yang lengkap untuk kegunaan para pelajar.

Tuturnya lagi, pihaknya termasuk semua kakitangan berusaha memberi sokongan dan bimbingan secara peribadi kepada semua pelajar di KTJ.

“Pelbagai ceramah berkaitan dengan kemasukan universiti dan sesi penggayaan akademik kokurikulum sering diadakan di KTJ.

“Kami amat bertuah kerana mempunyai kakitangan yang berdedikasi dan bersemangat serta komited dalam memperluaskan peluang dan keupayaan para pelajar di samping memberi inspirasi untuk bercita-cita tinggi,” katanya.

Kolej Tuanku Ja’afar yang ditubuhkan pada 1991 secara berterusan mengungguli kualiti pendidikan yang tinggi dan holistik yang memberi keutamaan kepada pembentukan pemimpin global yang beriltizam.

Selain itu, awal tahun ini, KTJ telah dianugerahkan ‘Sekolah Antarabangsa Terbaik Tahun 2021’ oleh Pertubuhan Sekolah Berasrama (Boarding Schools’ Association).

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok