poli2
poli2

Kutip sampah sambil beriadah, PMM anjur program Trash to Cash

Nor Azma  Muhamat Laila
20 Jan 2022 09:31pm
A
A
A

JASIN - Politeknik Merlimau, Melaka (PMM) menerusi Centre of Tourism and Hospitality (CeTraH) telah menjayakan program tanggungjawab sosial iaitu Kutip Sampah Sambil Riadah (KUDAH) dan Trash to Cash Bersama Komuniti Pantai Siring, baru-baru ini.

Program anjuran bersama Majlis Pembandaran Jasin (MPJ) itu melibatkan seramai 77 warga kerja PMM.

Menurut Pengurus CeTrah PMM, Surina Nordin, program tersebut digalakkan untuk memberi kesedaran betapa pentingnya menjaga kebersihan alam sekitar terutamanya pantai di Melaka supaya ia menjadi daya tarikan pelancong di negeri berkenaan.

Katanya, ia juga akan dapat menanamkan kesedaran sivik dalam diri pelajar, kakitangan PMM dan komuniti serta menjaga kebersihan alam sekitar di samping dapat beriadah melalui aktiviti yang dijalankan.

“Program gotong-royong KUDAH yang dianjurkan oleh MPJ kali ini telah memberi pendedahan yang luas terhadap kepentingan menjaga alam sekitar dan seterusnya mengubah imej pantai di Melaka.

“Bagi saya, jika kita sukar untuk mengubah dunia, ubahlah diri kita sendiri untuk lebih menghargai laut dan pantai kita kerana ia berpotensi sebagai pusat pelancongan dan salah satu sumber ekonomi negeri Melaka,” katanya.

Sementara itu, sempena program tersebut, PMM turut mempromosikan kursus Penyedia Latihan Halal PMM yang diiktiraf oleh Majlis Profesional Halal dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Kursus Latihan Pengendali Makanan kepada para peserta terutamanya peniaga-peniaga makanan di Pantai Siring.

Program yang berlangsung pada waktu petang di sepanjang satu kilometer Pantai Siring itu dilaksanakan dengan para peserta berjalan kaki seperti beriadah secara santai.

Menerusi program KUDAH dan Trash to Cash itu, Surina bersama warga PMM serta anggota MPJ telah dapat mengutip sampah dalam kuantiti yang banyak terdiri daripada botol plastik, ranting kayu, plastik makanan dan pelbagai lagi sekali gus dapat mencantikkan lagi Pantai Siring yang merupakan salah satu destinasi pelancongan negeri Melaka.

Surina turut menyatakan program seumpama ini akan diteruskan pada masa akan datang kerana memberi banyak manfaat bukan sahaja kepada PMM tetapi kepada negeri Melaka.

“Program ini bukan sahaja dapat memberi pengalaman kepada warga PMM dalam menjalankan aktiviti khidmat masyarakat, tetapi menerapkan nilai membudayakan riadah dalam kehidupan seharian,” ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok