diy
diy

Lebih 12,000 pelajar dapat manfaat daripada inisiatif #DIY4UM

Nor Azma  Muhamat Laila
24 Jan 2022 09:19pm
A
A
A

KUALA LUMPUR – Lebih 12,000 pelajar Universiti Malaya (UM) mendapat manfaat daripada inisiatif #DIY4UM apabila menerima bantuan tunai berjumlah RM300 untuk membeli barangan keperluan harian dan peralatan pembelajaran.

Dana tersebut diagihkan melalui e-dompet Touch ‘n Go dalam tiga bayaran sama rata sepanjang bulan November dan Disember 2021.

Inisiatif yang dijalankan dengan usaha sama antara MR D.I.Y. Group (M) Berhad (MR D.I.Y.), Touch ‘n Go Group (Touch ‘n Go) dan UM memperuntukkan lebih RM3.6 juta untuk membantu para pelajar membuat persiapan kembali ke kampus.

Ketua Pegawai Eksekutif MR D.I.Y., Adrian Ong berkata, pihaknya sedar bahawa salah satu kumpulan yang paling teruk terkesan adalah pelajar universiti.

“Kami menyedari, apabila pelajar mula kembali ke kampus selepas pandemik, ramai yang memerlukan bantuan untuk memastikan mereka dilengkapi dengan keperluan harian, bahan pembelajaran dan barangan pelindung diri.

“Bagi memastikan peralihan balik ke kampus berjalan lancar dan tanpa masalah, kami memutuskan untuk melancarkan inisiatif #DIY4UM,” katanya.

Tambah Ong lagi, pihaknya berterima kasih dan amat menghargai usaha Touch ‘n Go yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Effendy Shahul Hamid, kerana bertungkus lumus bekerjasama bagi menjadikan proses pengagihan tunai berjalan lancar dan efektif.

Mengulas mengenai inisiatif bantuan itu, Effendy berkata, pihaknya telah menjalankan beberapa inisiatif usaha sama strategik bersama MR D.I.Y. dan amat berpuas hati melihat ia diperluaskan lagi ke bidang bukan komersial.

“Kami juga berbesar hati untuk mengambil bahagian dalam program ini dan diharapkan agar ia dapat memberi motivasi kepada para mahasiswa UM untuk berusaha mencapai kejayaan yang lebih hebat dalam pengajian mereka,” ujarnya.

Sementara itu, Naib Canselor UM, Profesor Datuk Ir Dr Mohd Hamdi Abd Syukor berkata, UM mengucapkan ribuan terima kasih di atas insiatif yang dijalankan MR D.I.Y. dan kemurahan hati mereka untuk memberi sumbangan bagi membolehkan para pelajar membeli barangan keperluan sebelum memulakan semester baharu.

“Nilai RM300 mungkin kecil buat sesetengah pihak, namun bagi 12,000 pelajar kami, ia merupakan bantuan yang amat mereka hargai.

“Dengan adanya Touch ‘n Go yang menjadikan proses tuntutan oleh para pelajar kami begitu mudah, serta promosi tambahan yang diberikan, bantuan ini amat bermakna. Sekali lagi, terima kasih kami ucapkan kepada MR D.I.Y. dan Touch ‘n Go,” jelasnya.

Wakil pelajar UM, Wan Afiq Ikhwan Wan Alias berkata, tidak dinafikan ada dalam kalangan mereka yang mengalami kesukaran untuk membuat persiapan menghadapi semester baharu.

“Bantuan #DIY4UM ini datang tepat pada waktunya dan meringankan beban kami. Kami bersyukur atas bantuan yang diberikan MR D.I.Y. kerana ia membantu kami membeli barangan yang diperlukan bagi tujuan pembelajaran.

“Stres sudah pun hilang, kini masanya untuk kami meneruskan pengajian dan memberi sepenuh tumpuan kepada pelajaran,” tuturnya.

Inisiatif #DIY4UM adalah salah satu daripada siri kolaboratif antara MR D.I.Y. dan UM.

Antara inisiatif seumpamanya yang turut dijalankan oleh MR D.I.Y. adalah pertandingan ‘DIY Made Simple’ untuk pelajar sekolah menengah, yang diadakan dengan usaha sama Pusat Komuniti dan Kelestarian UM (UMCares) bagi memupuk kesedaran mengenai kelestarian dalam kalangan pelajar sekolah.

Peruncit tersebut juga sebelum ini bekerjasama dengan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk menyediakan bilik pelbagai guna bagi kakitangan dan pelajar di PPUM.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok