Fadhlina (tengah) bergambar bersama sebahagian para penerima Peranti Wakalah Zakat di Sekolah Menengah Kebangsaan Labuan sempena lawatan rasmi beliau ke Labuan pada Jumaat.
Fadhlina (tengah) bergambar bersama sebahagian para penerima Peranti Wakalah Zakat di Sekolah Menengah Kebangsaan Labuan sempena lawatan rasmi beliau ke Labuan pada Jumaat.

Lebih 690 daripada 1,069 sekolah daif dibaik pulih

26 Jan 2024 06:35pm
A
A
A

Sebanyak 693 daripada 1,069 sekolah daif khususnya di Sabah dan Sarawak telah dibaik pulih.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) terus berusaha menyelesaikan isu sekolah usang di negara ini.

"Infrastruktur sekolah yang usang bukan sahaja berlaku di negeri tertentu dan usaha baik pulih ini selaras misi kementerian untuk menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif kepada pelajar.

"KPM telah mencapai kemajuan yang baik dalam menyelesaikan isu sekolah daif, terutama di Sabah dan Sabah apabila lebih separuh sekolah terjejas telah menjalani pembaikan yang diperlukan," katanya pada majlis penyampaian Wakalah Zakat Peranti di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Labuan di sini pada Jumaat.

Fadhlina berkata, kementerian juga melaksanakan sistem penarafan bintang dengan tempoh penilaian selama tiga bulan dalam menyiapkan proses baik pulih sekolah terbabit.

KPM dalam catatan menerusi Facebook pada 28 Julai 2023, memaklumkan kerajaan telah memperuntukkan RM6.5 bilion untuk melaksanakan projek pembangunan 1,002 sekolah daif di seluruh negara dari 2016 hingga 2023.

Menerusi Rolling Plan 2023, sejumlah RM923.97 juta diperuntukkan untuk pelaksanaan 417 projek baharu dan lanjutan di seluruh negara.

KPM memberitahu kemudahan pendidikan di Sabah dan Sarawak juga telah ditambah baik melalui pelaksanaan 327 projek pembangunan sekolah daif atau 78 peratus daripada keseluruhan projek yang diluluskan tahun ini. - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok