
Maahad tahfiz terbakar: 20 pelajar, empat ustaz selamat
Seramai 20 pelajar tahfiz dan empat ustaz Maahad Tahfiz Husnul Khotimah di Jalan Semerah Padi, Kuching, Sarawak berjaya menyelamatkan diri selepas bahagian bumbung bangunan tahfiz struktur jenis kekal, terbakar pada Ahad.
Pusat Gerakan Operasi Sarawak dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 5.47 petang, sebelum sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya dan Padungan digerakkan ke lokasi.
"Kejadian membabitkan kebakaran pada bahagian bumbung bangunan tahfiz struktur jenis kekal manakala tingkat bawah bangunan tidak terjejas. Menurut saksi di lokasi, kebakaran berpunca daripada litar pintas.
"Kesemua penghuni iaitu 20 pelajar tahfiz dan empat ustaz berjaya menyelamatkan diri tanpa mengalami sebarang kecederaan," menurut kenyataan itu.
Kenyataan tersebut memaklumkan anggota bomba bertindak melakukan pemadaman secara offensive dan defensive menggunakan sumber air dari pam jentera dan pili bomba berdekatan sehingga kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya.
Operasi tamat sepenuhnya pada 6.48 petang manakala punca kebakaran dan nilai kerugian sedang disiasat. - Bernama