Mabopa, MBA wujud portal ‘Kedai buku Shopee,’ tangani isu buku teks
Mabopa, MBA wujud portal ‘Kedai buku Shopee,’ tangani isu buku teks

Mabopa, MBA wujud portal ‘Kedai buku Shopee,’ tangani isu buku teks

webadmin
22 Feb 2021 04:16am
A
A
A

Persatuan Penerbit Buku Malaysia (Mabopa) dan Persatuan Penjual Buku Malaysia (MBA) menyeru semua ahlinya untuk meningkatkan stok buku teks dan buku kerja sekolah di platform e-dagang bagi menangani masalah pengedaran buku itu di seluruh negara.

Seruan itu susulan kekecewaan yang disuarakan oleh para ibu bapa di Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan, kerana tidak dapat mencari buku teks dan buku kerja sekolah untuk anak mereka.

Terdahulu, Mabopa dan MBA mewujudkan sebuah portal 'Kedai Buku Shopee' menerusi platform e-dagang, Shopee, bagi memudahkan para ibu bapa mencari dan mendapatkan stok buku terbabit.

Presiden Mabopa, Arief Hakim Sani Rahmat berkata, sebagai penerbit, pihaknya sentiasa berusaha untuk menerbitkan buku teks berkualiti tinggi dan memastikan ketersediaan di seluruh negara.

"Pada masa sama, kami menghubungi penjual buku dan pengedar kami untuk membincangkan cara-cara memudahkan penjualan buku pelajaran melalui Shopee.

"Shopee juga amat responsif dan memberi sokongan serta infrastruktur baik kepada kami untuk menyelesaikan isu nasional ini," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Serantau Shopee Ian Ho berkata, selain menyediakan portal 'Kedai Buku Shopee', pihaknya juga akan memberikan sokongan tambahan kepada komuniti dengan baucar pulangan tunai Syiling Shopee 20 peratus.

"Walaupun ini tidak banyak, kami berharap usaha ini dapat membantu mengurangkan tekanan yang dilalui oleh ibu bapa serta mendorong pembelajaran, kerana kami percaya bahawa bakat dapat dicungkil dan dikembangkan melalui pendidikan," katanya.

Buku tersebut boleh didapati di https://shopee.com.my/kedaibukushopee untuk Tahun Satu hingga Tingkatan Enam dan ibu bapa boleh menggunakan kod baucar 'KEDAIBUKU10' untuk mendapatkan pulangan tunai Syiling Shopee 20 peratus dengan nilai sehingga RM10. - Bernama

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok