roziah
roziah

Majlis Jalinan Ukhwah Ramadan Alumni tingkatkan jalinan sinergi UiTM bersama alumni

Nor Azma  Muhamat Laila
26 Apr 2022 01:56pm
A
A
A

SHAH ALAM – Dalam usaha memperkukuhkan sinergi antara alumni dan warga Universiti Teknologi MARA (UiTM), Majlis Jalinan Ukhwah Ramadan Alumni diadakan di Dewan Seri Impian, Hotel UiTM, Shah Alam, baru-baru ini.

Majlis anjuran Pejabat Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN), UiTM itu juga bertujuan untuk meningkatkan ukhwah serta mengeratkan silaturrahim antara kedua-dua pihak.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan UiTM, Pusat Jaringan Alumni (ANC) ICAN bergerak aktif selaku perantara para alumni dan warga universiti serta sentiasa memastikan ukhwah terus terjalin dalam pelbagai bentuk kolaborasi, kerjasama dan kesepakatan.

"Dalam usaha mendekati alumni, ANC ICAN juga sentiasa bekerja keras dalam usaha membangunkan dan mengemas kini pangkalan data alumni UiTM dengan kerjasama fakulti, kampus dan seluruh persatuan alumni.

"MyAlumni UiTM juga sentiasa mengungguli usaha ANC ICAN dengan menyediakan data alumni aktif dan penghasilan kad maya MyAlumni UiTM serta mara setapak lagi dengan mewujudkan direktori penyenaraian perniagaan Alumni UiTM (UiTM Alumni business listing) dan Faedah Alumni UiTM (Alumni UiTM benefits)," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, baru-baru ini.

Sempena majlis ini juga, ANC ICAN turut memperkenalkan inisiatif Projek Buku Koleksi Beribu-Ribu Pantun UiTM Di Hatiku yang merupakan usaha murni Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts Dr Roziah Janor dalam menghimpunkan pantun-pantun berkaitan memori di UiTM.

Menurut beliau, ini adalah satu inisiatif universiti dalam menghimpunkan koleksi pantun perkongsian daripada Keluarga UiTM khususnya para alumni, pengurusan tertinggi, staf, pentadbir, pensyarah, pelajar, pesara atau individu yang pernah melakar kenangan bersama universiti itu.

Roziah menyampaikan ucapan pada Majlis Jalinan Ukhwah Ramadhan Alumni.

Inisiatif ini juga disokong sepenuhnya oleh Timbalan Naib Canselor ICAN, Profesor Dr Mohamad Hariri Abdullah.

Ujar Mohamad Hariri, sokongan dan komitmen daripada para alumni amat penting dalam memaksimumkan jalinan serta aktiviti melalui pendekatan inovasi sosial bagi menunjukkan betapa signifikannya alumni kepada UiTM," jelasnya.

Tambah kenyataan itu lagi, UiTM percaya ukhwah yang terjalin bersama para alumni dapat membantu mewarnai landskap industri profesional negara sekali gus memartabatkan maruah bangsa dengan kejayaan-kejayaan yang diperoleh, di peringkat nasional hingga ke arena antarabangsa.

"Sememangnya, UiTM telah mendominasi pasaran kerjaya Malaysia dalam pelbagai bidang profesional dan merupakan institusi pengajian tinggi (IPT) pertama yang mempelopori pengkhususan bidang perhotelan, seni lukis dan seni reka, seni bina, kepustakaan, pelaburan, media dan kewartawanan," kongsinya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok