(Foto Ihsan: Facebook Zambry Abd. Kadir )
(Foto Ihsan: Facebook Zambry Abd. Kadir )

Malaysia-Turkiya perkukuh kerjasama pendidikan tinggi, peluang lebih luas buat pelajar & pensyarah

NURBAYA ABDUL REZAKNURBAYA ABDUL REZAK
10 Apr 2025 04:00pm

Pelajar universiti, pensyarah dan ibu bapa boleh menjangkakan lebih banyak peluang pengajian, penyelidikan serta pertukaran akademik hasil kerjasama strategik antara Malaysia dan Turkiye dalam bidang pendidikan tinggi.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memaklumkan bahawa kedua-dua negara bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Kerja Khas Bersama yang dianggotai pegawai kanan dari Malaysia dan Turkiye bagi memperkukuh kerjasama sedia ada serta meneroka inisiatif baharu.

Perkara itu dicapai menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Malaysia–Turkiye kali pertama, yang dipengerusikan bersama oleh Zambry dan Presiden Majlis Pendidikan Tinggi Turkiye (YOK), Profesor Erol Ozvar sempena Sidang Kemuncak Pendidikan Tinggi Eurasia (EURIE) 2025 di Istanbul baru-baru ini.

Antara intipati penting kerjasama ini termasuk:

  • Pembiayaan bersama projek penyelidikan dalam bidang strategik.
  • Latihan dan pembangunan kapasiti untuk pegawai kerajaan, pensyarah, penyelidik dan pelajar.
  • Penawaran biasiswa yang lebih berkesan kepada pelajar dari kedua-dua negara.
  • Artikel Berkaitan:

  • Penekanan kepada Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan institusi politeknik terutama dalam bidang seperti maritim, kejuruteraan dan teknologi.
  • Penyemakan semula memorandum persefahaman (MoU) yang sedia ada agar kekal relevan dan berkesan.

No Image Caption




Menurut Zambry, mesyuarat ini juga akan menjadi acara tahunan, diadakan secara bergilir antara kedua-dua negara dengan Malaysia dijadual menjadi tuan rumah pada tahun 2026.

Tambah beliau, inisiatif itu bakal membuka lembaran baharu dalam memperkukuh hubungan dua hala dalam bidang pendidikan tinggi yang mampu menjana peluang kolaborasi berimpak tinggi termasuk pemindahan ilmu, penyelidikan bersama dan pembangunan bakat pada peringkat global.

Sebagai langkah susulan, tiga MoU dan satu Surat Hasrat (LoI) telah dimeterai melibatkan institusi pendidikan tinggi Malaysia dan Turkiye:

  • UTM dengan Universiti Ondokuz Mayis, Samsun dan Universiti Istanbul Gedik.
  • USM dengan Universiti Kocaeli dan Universiti Hacettepe.
  • LoI antara JPPKK dengan Universiti Karabuk dan Universiti Teknikal Istanbul.

Inisiatif seperti ini diharap dapat membuka jalan lebih luas kepada pelajar Malaysia untuk menimba ilmu dan pengalaman di peringkat antarabangsa serta memperkukuh peranan institusi pendidikan negara di pentas global.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp