Keadaan motosikal dinaiki mangsa yang terlibat kemalangan di KM15, Jalan Gaung - Kuala Ping-Teris pada Isnin. Gambar kecil: Muhammad Daim Irfanshah
Keadaan motosikal dinaiki mangsa yang terlibat kemalangan di KM15, Jalan Gaung - Kuala Ping-Teris pada Isnin. Gambar kecil: Muhammad Daim Irfanshah

Maut dalam perjalanan ke tabika. ‘Bapa dan anak meninggal dunia bersama-sama, warga maya menangis’

NORHASPIDA YATIMNORHASPIDA YATIM
12 Nov 2024 12:03pm

HULU TERENGGANU - Seorang bapa dan anaknya maut dalam perjalanan ke tabika selepas motosikal dinaiki merempuh sebuah kereta pada pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintenden Zainul Mujahidin Mat Yudin berkata, nahas berlaku di Kilometer (KM) 15, Jalan Gaung-Kuala Ping-Teris di sini kira-kira jam 7.45 pagi.

Menurutnya, mangsa, Muhammad Daim Irfanshah Saiful Azrin, 6, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala bapanya, Saiful Azrin Awang, 42, disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Hulu Terengganu jam 12 tengah hari.

"Ketika kejadian, Proton Saga yang dipandu seorang lelaki berusia 29 tahun yang juga kakitangan Klinik Kesihatan Tengkawang dalam perjalanan ke tempat kerja.

Kemalangan berlaku berdekatan Klinik Kesihatan Tengkawang di Hulu Terengganu.
Kemalangan berlaku berdekatan Klinik Kesihatan Tengkawang di Hulu Terengganu.

"Sewaktu hendak membelok masuk ke simpang kanan klinik tersebut, secara tiba-tiba motosikal mangsa yang datang dari arah bertentangan (Kampung Gaung) telah melanggar bahagian tepi pintu sebelah kiri kereta itu," katanya di sini pada Isnin.

Beliau berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz mengalami pendarahan dalam paru-paru dan patah tulang tengkorak telah dikejarkan ke Hospital Hulu Terengganu untuk menerima rawatan sebelum disahkan meninggal dunia.

"Seorang lagi mangsa yang meninggal dunia juga dibawa ke Unit Forensik hospital sama untuk proses bedah siasat.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp