Menurut Mohd Azam, kaedah mesyuarat tersebut dapat mengelakkan guru-guru daripada perlu hadir berhari-hari semata-mata untuk tujuan mesyuarat.
Menurut Mohd Azam, kaedah mesyuarat tersebut dapat mengelakkan guru-guru daripada perlu hadir berhari-hari semata-mata untuk tujuan mesyuarat.

Mesyuarat Pengurusan Sekolah hanya sehari sahaja! Terima kasih KPM

22 Dec 2025 12:15pm

Mesyuarat Pengurusan Sekolah bagi sesi baharu pembukaan persekolahan tahun 2026 akan dilaksanakan selama satu hari sahaja, merangkumi bidang pengurusan, kurikulum, hal ehwal murid dan kokurikulum secara serentak.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad menerusi satu kenyataan media pada Ahad.

Menurut beliau, kaedah mesyuarat tersebut dapat mengelakkan guru-guru daripada perlu hadir berhari-hari semata-mata untuk tujuan mesyuarat.

"Untuk tujuan ini, pihak pengurusan sekolah dikehendaki dapat mengadakan mesyuarat tersebut seperti berikut:

1) Bagi negeri Kumpulan A, Mesyuarat Pengurusan Sekolah bagi maksud sesi baharu pembukaan persekolahan tahun 2026 diadakan antara tarikh 6 hingga 8 Januari 2026 (Selasa, Rabu atau Khamis); dan

2) Bagi negeri Kumpulan B, ia perlu diadakan antara tarikh 7 hingga 9 Januari 2026 (Rabu, Khamis atau Jumaat).

"Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedar bahawa terdapat tugas-tugas penting selain Mesyuarat Pengurusan Sekolah ini. Oleh itu, mereka (pengurusan sekolah) dikehendaki menyusun aktiviti penting pada tarikh-tarikh seperti di atas.

"Disarankan juga agar apa-apa maklumat bagi aktiviti penting itu ditaklimatkan secara dalam talian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, kenyataan Mohd Azam dibuat bagi menggesa pihak pengurusan sekolah supaya menyokong guru-guru menggunakan cuti persekolahan akhir 2025 dengan sebaik-baiknya.

Pendekatan itu dapat membantu guru-guru menyegarkan kembali tubuh badan serta kesejahteraan psikologi dan emosi melalui amalan kunjung-mengunjung dan aktiviti melancong sepanjang cuti akhir 2025.

Dalam pada itu, Mohd Azam merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga guru atas komitmen dan dedikasi mereka dalam membimbing serta mendidik murid sepanjang tahun 2025.

Beliau berharap para guru menikmati cuti akhir tahun 2025 dan kembali pada 2026 dengan semangat berkobar-kobar untuk mendidik anak bangsa dengan penuh amanah.

 

 

Ringkasan AI

  • Mesyuarat Pengurusan Sekolah bagi sesi baharu pembukaan persekolahan tahun 2026 akan dilaksanakan dalam satu hari
  • Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad menyampaikan kenyataan berkenaan mesyuarat tersebut melalui media
  • Kaedah mesyuarat serentak ini bertujuan mengelakkan guru perlu hadir mesyuarat berhari-hari
  • Mesyuarat Pengurusan Sekolah perlu diadakan pada tarikh tertentu untuk Kumpulan A dan B pada awal Januari 2026
  • Mohd Azam menggesa pihak pengurusan sekolah menyokong guru-guru menggunakan cuti persekolahan akhir 2025 untuk beristirahat
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp