230821-buletin2
230821-buletin2

Microsoft Innovative Teachers, mantapkan lagi proses PdPR

Mariatul Qatiah Zakaria
24 Aug 2021 02:18pm
A
A
A

KUALA LUMPUR - Status negara yang berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah memberi perubahan baharu kepada landskap pendidikan di negara ini.

Penularan virus Covid-19 memberi impak kepada proses pembelajaran apabila premis-premis pendidikan terpaksa ditutup.

Proses pembelajaran yang dahulunya berlaku secara bersemuka, kini berubah kepada Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Perubahan yang mendadak ini pastinya memberi kejutan kepada pelajar-pelajar apabila tidak semuanya mampu menyesuaikan diri dengan situasi semasa.

Keadaan ini memaksa guru menjadi lebih proaktif dalam memastikan keberkesanan proses pembelajaran.

Sehubungan itu, Universiti Malaya (UM), Fedelis Sdn. Bhd. (Microsoft in Education Global Training Partner), Pejabat Pendidikan Daerah Bangsar dan Petaling Utama telah bekerjasama melancarkan Program Microsoft Innovative Teachers: Train the Trainers.

Program tersebut dianjurkan dalam usaha memantapkan lagi proses PdPR dan ia mendapat sokongan dan tajaan Pusat Komuniti dan Kelestarian (UMcares), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan UM.

Menurut pensyarah Fakulti Pendidikan UM, Dr Donnie Adams Paramasivam, program julung-julung kali yang diadakan ini bertujuan memperkasa proses pembelajaran dalam talian.

Katanya lagi, dengan adanya program ini, guru-guru akan dilatih sehingga mahir menggunakan Microsoft 365 Education.

“Program ini melibatkan 214 orang guru dari 11 buah sekolah rendah dan sembilan buah sekolah menengah di kawasan Bangsar dan Petaling Utama.

“Penganjuran program ini bertujuan melatih dan melahirkan tenaga pengajar yang berkemahiran serta cekap dalam menjalankan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).

“Kewujudan program ini turut memberi idea kepada guru-guru untuk menguasai teknologi Microsoft 365 Education selain penggunaan Google Classroom yang dijadikan medium pembelajaran sebelum ini,” ujarnya.

Tambah beliau, latihan yang diadakan secara dalam talian ini terbahagi kepada dua fasa iaitu fasa pertama latihan yang diketuai empat orang Master Trainer daripada Fedelis.

Mereka akan melatih 20 orang guru di mana setiap daripadanya mewakili sekolah yang terlibat dan seterusnya beralih ke fasa kedua setelah melepasi fasa pertama.

Apa yang diharapkan, program ini mampu memberi manfaat kepada masyarakat sekali gus membantu guru-guru dalam usaha membentuk modal insan yang unggul.

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok