sinar6
sinar6

Misi #BantuanBencana Sinar Harian x Rasuah Busters bantu SMK Taman Sri Muda

Nor Azma  Muhamat Laila
01 Jan 2022 06:28pm
A
A
A

SHAH ALAM - Misi #BantuanBencana Sinar Harian x Rasuah Busters kali ini menghulurkan sumbangan peralatan pembersihan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Sri Muda bagi memudahkan sukaralewan bertugas menjalankan kerja-kerja membersihkan sekolah sebagai persediaan pembukaan semula sesi persekolahan penggal tiga pada 10 Januari 2021.

Pegawai Perhubungan Strategik Rasuah Busters, Wan Normi Hasan, berkata sumbangan itu diharapkan dapat membantu meringankan kerja-kerja pembersihan di sekolah berkenaan yang terjejas teruk kerana banjir baru-baru ini.

"Selain menyerahkan sumbangan peralatan pembersihan, misi bantuan turut membawa sedikit kelainan apabila menyediakan beberapa perkhidmatan yang sememangnya diperlukan oleh masyarakat dalam tempoh pasca banjir ini iaitu klinik bergerak, kaunter cetak dokumen, agihan borang bantuan bencana banjir dan sumbangan barangan.

"Seramai 30 sukarelawan Rasuah Busters menyertai misi bantuan ini dengan kerjasama rakan gabungan yang terdiri daripada lapan badan bukan kerajaan (NGO) termasuklah Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia (IKRAM Health) dan Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN)," katanya ketika ditemui pada misi bantuan berkenaan.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Mohd Nasir Hamzah, Ketua Balai Polis Taman Sri Muda, Inspektor Mohammad Firdaus Mohd Fakhri, penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim dan selebriti, Datuk Fazley Yaakob.

Sementara itu, Pengetua SMK Taman Sri Muda, Datuk Magendran M Munisamy, berkata pihaknya sangat berterima kasih di atas sumbangan yang dibuat oleh Sinar Harian x Rasuah Busters bagi meringankan kerja-kerja pembersihan sekolah berkenaan.

"Banjir yang berlaku menenggelamkan kesemua bangunan yang terletak di tingkat bawah termasuklah makmal komputer, bengkel Reka Bentuk dan Teknologi (RBT), studio, makmal sains, bilik kesihatan, bilik bimbingan dan kaunseling, kedai buku, koperasi dan kantin.

"Kami sudah meninjau sekitar sekolah untuk melihat kerosakan yang berlaku dan memulakan pembersihan sejak sembilan hari yang lalu dengan bantuan berterusan daripada pelbagai pihak termasuklah agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), universiti serta orang perseorangan.

"Kerja-kerja membaik pulih bilik-bilik khas yang terjejas juga akan dilakukan segera bagi membolehkan sekolah kembali beroperasi," ujarnya.

Tambahnya lagi, sekolah berkenaan mempunyai 1,963 murid, 108 guru dan lapan anggota kumpulan pelaksanaan, lima orang pekerja pembersihan dan empat pegawai keselamatan. Daripada jumlah itu, seramai 34 kakitangan (guru dan anggota pelaksana) terjejas banjir.

"Angka sebenar murid-murid dan keluarga yang terjejas banjir pula masih belum dapat dipastikan kerana kita masih lagi dalam proses mengumpulkan maklumat dengan kerjasama guru-guru dan ibu bapa," katanya.

Pelajar SMK Taman Sri Muda, Muhammad Zulhafsham Asyraf Marzuki, 13, pula berkata misi bantuan yang dikendalikan oleh Sinar Harian x Rasuah Busters itu memberi peluang kepada keluarganya untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan percuma.

"Bantuan sebegini diharap dapat membantu meringankan beban keluarga mangsa banjir yang terjejas dan saya berharap program sebegini akan diteruskan di masa akan datang bagi membantu mereka yang memerlukan," tuturnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok