no image

'Mohon pelajar berdisiplin' - Ini kata Presiden i-Guru berkenaan PdPR yang bakal dilaksanakan semula

Azliyana Sulaiman
20 Apr 2021 06:24am
A
A
A

"Pelajar mesti berdisiplin. Kalau tidak ada disiplin, teknologi tinggi sekali pun tidak memberi kesan sebab faktor utama kejayaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) ialah pembelajaran kendiri.

Demikian kata Presiden i-Guru, Mohd Azizee Hasan berkenaan sistem PdPR yang sedang dan bakal dilaksanakan semula susulan peningkatan mendadak kes Covid-19 di sekolah.

Katanya, disiplin pelajar menjadi faktor utama kejayaan PdPR sekali gus memastikan mereka dapat menguasai sesuatu mata pelajaran.

"Pelajar perlu mengurus diri dengan baik supaya sistem PdPR dapat dijalankan dengan berkesan," katanya memetik kenyataan dikeluarkan Sinar Harian pada Isnin.

Sementara itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diminta memperkemas PdPR jika perkara tersebut dilaksanakan semula.

Mohd Azizee berkata, antara perkara penting yang perlu diperkemaskan ialah aspek pentaksiran penguasaan pelajar kerana mereka didapati tidak dapat menguasai pembelajaran dengan sebaiknya semasa sesi PdPR dijalankan sebelum ini.

“Disebabkan PdPR, guru-guru tidak dapat berjumpa pe­lajar secara fizikal menyebabkan ada pelajar belajar sambil lewa. Jadi, dalam hal ini kita kena ada kaedah pentaksiran yang baik,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Azizee menyarankan KPM menutup semua sekolah yang berada di kawasan berisiko tinggi untuk dijangkiti Covid-19 bagi mengawal wabak tersebut.

Katanya, tindakan perlu dilakukan segera bagi menghilangkan kerisauan masyarakat di samping mengelak persepsi negatif terhadap KPM.

“Saya rasa sekolah kena ketatkan penguatkuasaan disiplin. Sikap sambil lewa boleh memberi kesan kepada PdPR,” kata beliau.

Sejak Ahad, semua sekolah di tujuh daerah di Kelantan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diarah tutup sehingga 24 April ini berikutan sebanyak 464 kes aktif Covid-19 direkodkan membabitkan warga sekolah.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Husin berkata, jumlah tersebut melibatkan guru, pelajar dan kakitangan sekolah.

Artikel menarik

Pendidik perlu pamerkan contoh yang baik kepada murid - Sheikh Mohd Zaki

Dua pelajar tajaan MyPAC bangkit daripada kegagalan, harum nama Malaysia di peringkat dunia

 

            

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok