mqa2
mqa2

MQA perkukuh ukhuwah dengan pengamal media

Nor Azma  Muhamat Laila
29 Apr 2022 06:28pm
A
A
A

KUALA LUMPUR: Bagi menghargai jasa pengamal media tempatan, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) meraikan golongan itu dalam majlis berbuka puasa di sebuah hotel di sini, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, penganjuran majlis itu bertujuan untuk merapatkan lagi ukhuwah yang terjalin antara badan berkanun di bawah pimpinannya dengan pengamal media daripada pelbagai agensi.

Katanya, pihaknya amat menghargai sumbangan rakan media yang banyak membantu dalam menyebarluaskan maklumat kepada masyarakat mengenai fungsi, perkhidmatan serta inisiatif MQA.

"Sebagai satu daripada kumpulan barisan hadapan, peranan yang dimainkan pengamal media cukup signifikan terhadap pembangunan negara sejak sekian lama," katanya selepas Majlis Iftar MQA bersama Media Tahun 2022.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Jaminan Kualiti) MQA, Profesor Dr Khairul Salleh Mohamed Sahari; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) MQA, Halinordina Mat Saat dan Pengarah Kanan Pembangunan Dasar dan Kepakaran MQA, Mohamad Dzafir Mustafa.

Mohammad Shatar yang juga pakar sosial berkata, dalam era serba canggih ini, ramai yang mahu menjadi 'wartawan segera' berbekalkan peranti yang ada di tangan.

Katanya, banyak isu tular yang mahu dikupas di alam maya hingga kadang kala tidak menyemak sama ada maklumat diperoleh sahih atau sebaliknya.

"Masyarakat perlu mendapatkan berita daripada sumber yang sahih iaitu media yang diperakui.

"Di sinilah peranan pengamal media amat penting dalam menyampaikan maklumat yang telus kepada masyarakat umum," katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok