Pameran dan aktiviti menarik menanti pengunjung sempena Karnival Pendidikan Sinar Bestari
Karnival Pendidikan Sinar Bestari yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 8 hingga 10 September depan di Kompleks Kumpulan Karangkraf bakal menampilkan pelbagai pameran dan aktiviti menarik kepada pengunjung.
Ketua Pemasaran dan Penjenamaan Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, antara aktiviti menarik ialah Pameran Digital Skil dan Kerjaya daripada pemain industri seperti Apple Education, TikTok, Les Copaque, AirAsia Academy, Israk Solutions Sdn Bhd, Pusat Sains Negara, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd, Bank Rakyat dan Yayasan Selangor.
Tambah beliau, tidak ketinggalan demo unit beruniform daripada Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Jabatan Penjara Malaysia.
“Pengunjung yang terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan menengah berpeluang menyertai uji bakat TV Pusat Sumber Sekolah (TV PSS) yang memberi pelbagai pendedahan dalam dunia penyiaran dan kewartawanan.
“Pertandingan lain seperti kawad kaki, koir, dikir barat, Sinar Bestari Got Talent, pidato, crossword puzzle, bercerita Sirah Nabi, robotik, penglipur lara, E-Sukan, cerpen, bicara berirama, Kids Quran Hour dan banyak lagi turut disediakan kepada pelajar yang berminat menyertainya.
“Tidak lupa aktiviti seperti rumah hantu, mini zoo, menunggang kuda serta jualan rahmah dari Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) turut diketengahkan kepada orang ramai dalam karnival kali ini,” katanya.
Ujar Nik Justin lagi, Karnival Pendidikan Sinar Bestari dengan kerjasama antara Sinar Harian, Sinar Bestari dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor turut memberi peluang kepada lebih 30 vendor yang menyajikan pelbagai hidangan makanan berkonsepkan kenegerian dan tradisional dengan harga berpatutan menerusi SinarPlus Makan Fest.
Tidak ketinggalan beberapa pengusaha food truck (menjual makanan dari trak) bakal menyertai karnival itu seperti Starbucks, Milo, Coconut Shake, Yakult, Paksu Kuey Teow serta Takoyaki & Corndog sekali gus membawa produk popular masing-masing untuk dinikmati pengunjung karnival.
Bersempena dengan Karnival Pendidikan Sinar Bestari itu juga, pengunjung berpeluang membeli buku dan mendapatkan diskaun serta potongan 50 peratus kad keahlian percuma seumur hidup menerusi Jualan Gudang Karangkraf 2023 bermula 31 Ogos hingga 10 September.
Sementara itu, Nik Justin berkata, penganjuran Karnival Pendidikan Sinar Bestari bukanlah hiburan semata-mata sebaliknya ia memberi tumpuan kepada akademik, kemahiran insaniah (soft skill) dan pendidikan digital atau edutainment.
“Sistem pendidikan negara kini melalui transformasi yang pelbagai malah perkembangan pesat bidang teknologi hari ini membuatkan orang ramai perlu menyesuaikan diri seiring peredaran masa.
“Oleh itu, penganjuran karnival sebegini adalah platform tepat dalam mendedahkan pelajar berkaitan pendidikan pendigitalan,” ujarnya yang menyasarkan lebih 3,000 pengunjung hadir setiap hari ke karnival yang bermula jam 9 pagi hingga 7 malam.