860755
860755

Pantau SOP di sekolah, lebih 1,000 anggota polis dikerah

Mohd Khairi Mohamad Yusri
23 Nov 2021 09:15am
A
A
A

Lebih 1,000 pegawai dan anggota polis ditugaskan untuk memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) di semua sekolah di negeri Perak.

Menurut Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Perak, Senior Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pemantauan tersebut melibatkan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS), Unit Peronda Polis, Unit Rondaan Bermotosikal (URB) serta bahagian-bahagian lain dan semua sekolah akan dipantau setiap hari pada waktu pelajar hadir dan pulang dari sekolah.

"Kita bukan sahaja memantau pada awal pagi tetapi juga ketika pelajar balik dari sekolah kerana waktu itu pelajar-pelajar atau ibu bapa dalam keadaan hendak cepat, jadi kadang-kadang mereka lupa untuk mematuhi SOP.

"Daripada pemantauan awal kita, memang pada awal pagi ibu bapa mematuhi SOP tetapi kita risau mereka lupa ketika menjemput anak pulang," katanya kepada pemberita selepas Program Pemantauan SOP Covid-19 Bersama Pengurusan Sekolah Kebangsaan (SK) Cator Avenue Ipoh dan Program Back To School di sini pada Isnin.

Beliau berkata, antara perkara yang diberikan perhatian menerusi pemantauan tersebut ialah penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka dan pengudaraan di dalam kelas.

Jelasnya, pemantauan berkenaan akan dilaksanakan setiap hari secara berterusan bagi memastikan SOP kekal dipatuhi.

Sementara itu, tambah Noorzainy, seramai 100,816 murid Tahun Satu hingga Enam di 852 sekolah rendah di seluruh Perak memulakan sesi persekolahan secara bersemuka mulai Isnin.

Katanya, jumlah itu merupakan sebahagian daripada 201,632 jumlah keseluruhan murid di Perak yang mengikuti kelas secara bergilir seperti yang ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok