obj29093015_1627962342
obj29093015_1627962342

Pastikan tenaga kerja mencukupi, Sarawak labur dalam 3 Universiti

Mohd Khairi Mohamad Yusri
21 Nov 2021 04:00pm
A
A
A

SIBU - Sarawak adalah satu-satunya negeri yang melabur dalam tiga universiti swasta bagi melahirkan ramai tenaga kerja mahir dan berbakat untuk menampung keperluan sektor perindustrian di Sarawak.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata tiga universiti terlibat ialah Swinburne University di bandar raya Kuching, Curtin University di bandar raya Miri dan University Of Technology Sarawak (UTS) di bandar Sibu.

“Ini kerana kita tahu kepentingan pendidikan di peringkat universiti dan kita mahu setiap rakyat Sarawak diberi peluang belajar hingga peringkat universiti sama ada tempatan atau luar negara,” katanya.

Awang Tengah berkata adalah menjadi keutamaan kerajaan negeri untuk membangunkan modal insan supaya Sarawak sentiasa mempunyai kumpulan tenaga kerja berbakat dan mahir bagi menampung keperluan perindustrian yang pesat berkembang di Sarawak.

Beliau berucap pada majlis pelancaran buku Sarawak Maritime Industries: A Catalyst for Economic Growth - The Book of Sarawak 2021 diterbitkan secara kerjasama antara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak dengan Persatuan Industri-Industri Maritim Sarawak (SAMIN) di sini malam tadi.

Sementara itu, Awang Tengah berkata industri pembinaan dan pembaikan kapal Sarawak telah berkembang dan menerima pakai reka bentuk inovatif dan mutu kerja berkualiti yang menepati piawaian dunia serta telah memberi sumbangan besar kepada ekonomi Sarawak.

Menurutnya, industri tersebut telah menjana eksport bernilai RM279 juta pada 2018, RM349 juta pada 2019 dan RM260 juta pada 2020, walaupun terdapat sekatan pergerakan dan sekatan perjalanan berikutan pandemik COVID-19.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak berkata industri maritim adalah antara tonggak utama pertumbuhan ekonomi Sarawak dan menjadi komponen penting Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

Katanya, kestabilan politik dikecapi Sarawak di bawah pemerintahan Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah antara tarikan utama pelabur asing membuat pelaburan di negeri ini yang memperkasakan ekonomi Sarawak.

“Di sebalik penularan COVID-19, Sarawak mampu menarik RM15.7 juta pelaburan pada 2020, iaitu yang kedua tertinggi di Malaysia selepas Selangor dan sejak beberapa tahun lepas, Sarawak sentiasa berada antara empat destinasi pelaburan teratas di Malaysia,” tambahnya. - BERNAMA

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok