WhatsApp Image 2021-06-14 at 18.48.07
WhatsApp Image 2021-06-14 at 18.48.07

Pelajar baharu perlu mempunyai daya tahan tinggi

Nor Azma  Muhamat Laila
18 Jul 2021 10:18pm
A
A
A

CYBERJAYA - Pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi disaran segera menyesuaikan diri dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) era pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata golongan itu perlu mengubah paradigma dan tidak mengharapkan kuliah konvensional dan operasi kampus seperti biasa.

Menurut Dr Mohammad Shatar, pelajar kini perlu membiasakan diri dengan norma baharu terutama pengajian secara maya supaya lebih kompeten dan mempunyai ketahanan dalam menghadapi cabaran pembelajaran di era pandemik ini.

Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran.

 

"Diharapkan pengalaman yang telah dilalui sejak Mac tahun lalu mampu untuk mematangkan mereka dalam berhadapan dengan isu PdP dalam talian ini.

"Pastinya pengalaman setahun lebih ini sudah mampu untuk membantu kita membuat modifikasi sekiranya berlaku kekurangan supaya tidak berulang lagi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kemasukan ke universiti awam (UA), politeknik, kolej komuniti dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) peringkat Sijil, Asasi dan Diploma, serta Ijazah Sarjana Muda Senibina Universiti Teknologi Mara (UiTM), bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), baru-baru ini.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, beliau yakin dengan kemudahan di negara ini, pelajar yang baru menyertai warga kampus akan mampu untuk menunjukkan prestasi baik walaupun dalam norma baharu.

Katanya, prestasi itu sebaris dengan pelajar di negara maju seperti Amerika Syarikat, Jepun dan Korea Selatan yang sudah biasa dengan PdP secara dalam talian.

"Kita mahu pelajar sentiasa bersiap sedia mental dan fizikal dalam menghadapi suasana ini supaya mereka tidak terkejut dan masih mengharapkan perlaksanaan kaedah PdP konvensional seperti yang didengari mereka selama ini.

"Biarpun kita yakin wabak Covid-19 akan beredar, sistem PdP hibrid ini akan terus dilaksanakan oleh kebanyakan institut pengajian tinggi (IPT) kerana ia lebih memudahkan," katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok