HomeBuletinPelajar IPT teruja kembali ke kampus, teruskan pembelajaran secara hibrid dan patuhi...

Artikel Berkaitan

Pelajar IPT teruja kembali ke kampus, teruskan pembelajaran secara hibrid dan patuhi SOP

Penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) antara yang terkesan kerana pandemik Covid-19 yang berlaku sejak lebih dua tahun sehingga menyebabkan mereka juga terpaksa melalui proses pembelajaran secara dalam talian.

Bagaimanapun, pembukaan semula sesi pengajian dan kebenaran kembali ke kampus yang dibuat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) baru-baru ini ternyata membuatkan mahasiswa kembali teruja untuk meneruskan pengajian masing-masing.

Apa tidaknya, sejak dua tahun lalu mereka tidak berpeluang bertemu rakan-rakan dan pensyarah secara fizikal malah ada yang sudah menamatkan pengajian masing-masing tanpa sempat mencipta kenangan manis bersama teman seperjuangan di kampus.

Pengoperasian semula proses pembelajaran secara bersemuka di kampus turut menuntut pengurusan universiti membuat persiapan untuk berdepan sebarang cabaran atau isu yang akan timbul berikutan kes Covid-19 masih mencatatkan peningkatan.

Minggu ini, Sinar Bestari kongsikan pandangan dan harapan warga IPT bermula dari pihak pengurusan tertinggi, kakitangan dan siswa-siswa universiti awam (UA) negara ini yang akan meneruskan pembelajaran dalam fasa endemik tidak lama lagi.

Profesor Dr Shamsul Sahibuddin.

“UTM sangat memahami dan cakna akan keperluan serta kepentingan pelajar untuk berada di kampus bagi tujuan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP). Sehubungan itu, universiti akan melaksanakan kemasukan semula pelajar dalam dua fasa di mana Fasa I bermula dari 16 hingga 19 Mac lalu diikuti dengan Fasa II iaitu 6 hingga 8 April ini.
“Pelajar yang ingin kembali ke kampus perlu membuat permohonan melalui UTMSmart di mana universiti akan membuat pertimbangan dan keutamaan akan diberikan kepada pelajar yang berkeperluan.
“Kategori pelajar berkeperluan ialah pelajar yang menjalani latihan industri, pelajar yang berkeperluan masuk kampus dengan ketetapan KPT yang memerlukan pertemuan, pelajar yang berstatus khas, pelajar program penyelidikan pascasiswazah, pelajar kemasukan Semester I Sesi 2021/22 serta pelajar terjejas yang memerlukan ruang pembelajaran kondusif.
“Dengan kemasukan pelajar secara fizikal bermula April ini juga diharap dapat merancakkan lagi aktiviti PdP dengan lebih sistematik dalam memastikan kualiti akademik kekal cemerlang.” – Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTM, Profesor Dr Shamsul Sahibuddin.

Profesor Ts Dr Zaliman Sauli.

“UniMAP menyambut baik keputusan dan saranan dari KPT untuk membenarkan 100 peratus pelajar pulang ke kampus mulai Mac 2022. Pihak pengurusan UniMAP telah mengambil beberapa langkah sebagai persiapan menerima kemasukkan hampir 10,000 pelajarnya ke kampus bermula 28 Mac ini.
“Pelajar akan kembali ke kampus secara berfasa (empat tarikh kemasukan) mengikut urutan fakulti yang ditetapkan. Ini untuk memudahkan susun atur kemasukan pelajar dan tidak berlaku kesesakan/perkelompokan pelajar.
“Bagi mengekang penularan Covid-19, universiti menguatkuasakan SOP, menyediakan penempatan di pusat isolasi bagi pelajar yang positif, menjalankan ujian secara rawak/saringan berterusan bagi pelajar-pelajar yang bergejala dan penempatan mereka diselaraskan kepada lima atau enam orang serumah agar lebih selesa dan penjagaan kesihatan serta kebersihan lebih teratur.
“Bagi persediaan PdP, masih fleksibel di mana ada secara bersemuka di dalam bilik kuliah mengikut SOP dan penjarakan fizikal yang ditetapkan dan ada juga yang dijalankan secara hibrid manakala bagi keperluan makmal dan praktikal akan dijalankan secara bersemuka sepenuhnya.” – Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Profesor Ts Dr Zaliman Sauli.

Profesor Datuk Dr Mohamed Ridza Wahiddin.

“Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) secara amnya membenarkan sebanyak 70 peratus pelajar pulang ke kampus dan aktiviti PdP secara bersemuka adalah dibenarkan untuk pelajar yang telah lengkap dan melepasi tempoh keberkesanan selepas vaksinasi dengan mematuhi SOP yang ditetapkan.
“Aktiviti PdP yang telah ditetapkan adalah secara hibrid mengikut program pengajian. Bagi pelaksanaan mengikut kursus pula ia akan dilaksanakan berdasarkan tiga kaedah iaitu bersemuka sepenuhnya, bersemuka dan dalam talian atau secara dalam talian sepenuhnya.
“Bagi pelajar yang berada di kolej-kolej kediaman, Pusat Perumahan Pelajar (PRUPEL) akan mengusahakan gelembung selamat kampus antaranya mengehadkan kawalan keluar masuk pelajar dalam waktu yang ditetapkan agar dapat mengurangkan risiko jangkitan.”- Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Datuk Dr Mohamed Ridza Wahiddin.

Noor Eszereen Juferi.

“Dengan kembalinya pelajar ke kampus, ia akan memudahkan mereka untuk meneruskan proses pembelajaran yang dibuat secara dalam talian sejak dua tahun lalu. Secara langsung ia juga akan memberi semangat kepada pelajar untuk meneruskan pengajian.
“Meskipun begitu, akan ada beberapa subjek pengajian tetap berlangsung secara maya atau hibrid tetapi dengan sistem sokongan yang ada berdekatan pelajar, saya percaya ia lebih mudah dilaksanakan.” – Kakitangan Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Noor Eszereen Juferi.

Ahmad Fahmi Fazli.

“Pada masa ini, pengajian masih dijalankan secara hibrid iaitu bersemuka dan dalam talian mengikut fakulti masing-masing namun bilangan pelajar yang berada di kampus kian bertambah.
“Namun, saya menasihatkan pelajar untuk mengutamakan perihal kesihatan dan keselamatan masing-masing ketika berdepan peralihan fasa endemik seperti yang diumumkan kerajaan mulai 1 April depan.” – Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Pahang (UMP) 2021/2022, Ahmad Fahmi Fazli.

Nur Sabrina Juhaidin.

“Pembukaan sesi akademik 2022 ini telah memberi kesan baik kepada semua penuntut terutamanya bagi pelajar tahun akhir kerana berpeluang menamatkan pengajian di kampus.
“Bagaimanapun, perkara utama yang harus dititikberatkan jika IPT dibuka secara bersemuka ialah kebajikan pelajar. Masalah kesihatan, tempat tinggal dan juga penerbangan terutamanya pelajar dari Sabah dan Sarawak seharusnya diberikan perhatian agar kebajikan mereka terjaga.
“Selain itu, KPT juga perlu memandang serius tentang pelajar yang tinggal di luar kampus agar tidak dianaktirikan dan mendapat bantuan kebajikan seperti isolasi kesihatan sama seperti pelajar yang tinggal di dalam kampus.”- Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sejarah dengan Kepujian, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Sabrina Juhaidin.

Amirul Harith Raziman.

“Rata-rata mahasiswa sudah lama menanti saat untuk kembali ke kampus seperti sedia kala dan pembukaan sesi akademik 2021/2022 kali ini akan membabitkan kaedah pembelajaran dan pengajaran (PdP) secara bersemuka dengan kemasukan hampir 70 hingga 100 peratus pelajar ke kampus.
“Justeru, pembukaan semula IPT dapat memberi ruang kepada pelajar untuk meneruskan semula pengajian dengan lebih efektif apabila dilaksanakan secara fizikal dan bersemuka.” – Pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Keselamatan Rangkaian Komputer), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Amirul Harith Raziman.

Nur Humairrah Solehah Mohd Sofian.

“Rasa teruja dan seronok sangat apabila dapat balik semula ke kampus. Dapat jumpa kawan- kawan sekuliah dan yang paling lucu kali terakhir kami jumpa pada masa itu masih di tahun satu dan sekarang kami telah berada di tahun tiga pengajian.
“Kami juga membuat persiapan mental dan fizikal untuk meneruskan pembelajaran di kampus dengan melengkapkan vaksinasi serta mematuhi SOP yang ditetapkan.” – Pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik UMP, Nur Humairrah Solehah Mohd Sofian.

Artikel Terkini