1224918 (1)
1224918 (1)

Pelajar OKU gembira terima tawaran lanjut pengajian di UUM

Mohd Khairi Mohamad Yusri
05 Oct 2021 09:28am
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang pelajar orang kelainan upaya (OKU) tidak pernah menjadikan kekurangan yang dimiliki sebagai halangan untuk dia terus mengorak langkah menyambung pengajian ke menara gading.

Ia terbukti apabila Nek Muhammad Sofwan Najim Nek Ali, 20, diterima masuk ke Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi mengikuti pembelajaran dalam jurusan undang-undang.

Anak muda itu berkata, tiada kata yang mampu diungkapkan apabila berjaya mengikuti pengajian dalam kursus diminatinya dan berjanji untuk tidak mensia-siakan peluang yang ada serta akan berusaha membahagiakan ibu bapanya.

"Saya sangat gembira dan tidak sabar untuk masuk ke kampus tambahan pula sudah lengkap dua dos vaksin. Saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk mengikut jejak bapa menjadi peguam syariah," katanya ketika menerima surat tawaran daripada UUM di kediamannya di sini, pada Khamis.

Menurut Nek Muhammad Sofwan Najim lagi, kekurangan yang dialami berikutan kaki kanannya terpaksa dipotong kerana mengalami masalah saraf sentiasa dijadikan pembakar semangat untuk dirinya terus belajar dan bersukan walaupun bergelar OKU.

Sementara itu, anak seorang buruh, Azlina Mohd Lokman, 20 turut menzahirkan rasa syukur apabila berjaya menempatkan diri di UUM bagi mengikuti kursus Sarjana Muda Perbankan.

"UUM merupakan universiti pilihan pertama kerana saya melihat universiti ini sangat berprestij dan mampu membantu saya mencapai cita-cita sebagai pegawai bank," ujarnya.

Anak ketujuh daripada 13 beradik itu berkata, kejayaan menjejakkan kaki ke menara gading itu adalah satu peluang keemasan untuknya mengejar cita-cita dan membalas pengorbanan ibu bapa.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UUM, Profesor Dr Haim Hilman Abdullah berkata, pihaknya mengambil keputusan turun padang bagi menyampaikan surat tawaran kepada dua pelajar berkenaan yang merupakan kategori OKU dan keluarga B40.

"Saya kagum dengan semangat juang kedua pelajar tersebut untuk belajar demi mengubah nasib keluarga masing-masing, selain berasa bangga kerana mereka memilih UUM bagi melanjutkan pengajian di peringkat tinggi.

“InsyaALLAH, kami akan bantu sebaik mungkin agar cita-cita anak muda seperti Nek Muhammad Sofwan dan Azlina untuk menjadi seorang yang hebat dalam kerjaya masing-masing akan tercapai suatu hari nanti," katanya selepas bertemu dengan pelajar tersebut di rumah mereka.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Perkhidmatan dan Sokongan Pelajar (SSSD), Profesor Madya Dr Rajwani Md Zain; Pengarah Komunikasi Korporat UUM, Mohd Fairus Abdul Majid dan pegawai dari Jabatan Hal Ehwal Pelajar UUM.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok