![Nur Alya Atiqah dilaporkan hilang sejak 3 Februari lalu. Foto tular](https://www.sinarharian.com.my/sinarbestari/uploads/images/2025/02/14/3007687.jpg)
Pelajar Politeknik METro Johor Bahru masih belum ditemui! 'Ya ALLAH permudahkan urusan pencarian Nur Alya Atiqah'
Titipan doa dan sokongan kuat terus diberikan kepada keluarga Nur Alya Atiqah Muhamad Fitri, 18, menerusi pelbagai platform media sosial.
Merupakan pelajar Politeknik METro Johor Bahru (PMJB), Johor, Nur Alya Atiqah didapati hilang sejak 3 Februari lalu dan masih belum ditemui hingga kini.
Antara doa yang dititipkan warga maya buat pelajar Tahun Dua PMJB ini adalah;
"Semoga ALLAH permudahkan urusan mencari adik ini dan segera di jumpai dalam keadaan selamat."
"Cepat pulang Nur Alya Atiqah. Semua menunggu adik di rumah."
"Moga pencarian ini berakhir dan dia dijumpai dengan selamat."
"Ya ALLAH, Tuhan Yang Maha Mengetahui segala yang tersembunyi. Kami memohon dengan penuh harapan agar Engkau lindungi dan pelihara Nur Alya Atiqah di mana pun dia berada. Permudahkanlah jalan untuk dia ditemukan dengan selamat, kembalikanlah dia kepada keluarga dalam keadaan baik.”
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya sedang mengesan dan meminta bantuan orang ramai sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan Nur Alya Atiqah.
"Pelajar ini hilang pada tengah hari 3 Februari lalu dan alamat terakhirnya di PMJB di Jalan Suria 19, Taman Putera di sini.
"Anggaran berat remaja berkenaan adalah 45 kilogram, ketinggian 150 sentimeter dan berambut hitam ikal paras bahu serta warna kulitnya kuning langsat," ujarnya.
Beliau berkata, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat berkaitan lokasi remaja terbabit boleh terus ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di talian 07-2182323.
"Kerjasama masyarakat amat diperlukan dalam membantu penyiasatan polis," jelasnya lagi.