asrama3
asrama3

Pelajar sekolah menengah jalani PdPR 2 minggu bermula 21 Mac ini

Nor Azma  Muhamat LailaNor Azma  Muhamat Laila
05 Mar 2022 03:18pm

PUTRAJAYA - Semua pelajar sekolah menengah akan menjalani proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selama dua minggu bagi Penggal 1, Kalendar Akademik Sesi 2022/2023 bermula 21 Mac ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, semua pelajar sekolah menengah akan hadir secara bersemuka tanpa penggiliran bermula pada 4 April 2022.

"Pelajar berkenaan merangkumi murid berkeperluan khas (MBK), peralihan, Tingkatan Satu hingga Tingkatan Enam, prauniversiti, International Baccalaureate Diploma Programme (IBDP) dan peperiksaan antarabangsa yang setara.

"Perkara sama turut terpakai untuk sekolah berasrama sepenuhnya kecuali bagi pelajar Tingkatan 1 yang mendapat tawaran ke sekolah asrama penuh, mereka boleh memilih sama ada menjalani PdPR atau menumpang di sekolah harian berdekatan dengan kediaman sehingga tarikh kemasukan ke sekolah diumumkan," katanya melalui rakaman video dimuat naik dalam Facebook beliau, hari ini.

Sementara itu, bagi kolej vokasional dan kolej matrikulasi pula, Mohd Radzi menjelaskan bahawa sesi pembelajaran berlangsung tanpa penggiliran dan mengikut takwim pengajian akademik masing-masing.

"Pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) juga pula perlu hadir tanpa penggiliran mengikut takwim akademik masing-masing membabitkan Program Persedian Ijazah Sarjana Muda Perguruan, Program Ijazah Sarjana Perguruan, Program Diploma Pascasiswazah, Program Diploma Perguruan Malaysia dan Program Intervensi Tambah Opsyen,” ujarnya.

Jelas Mohd Radzi lagi, pengoperasian sekolah penggal akan datang ini lebih terbuka apabila hampir keseluruhan pelajar akan hadir ke sekolah tanpa penggiliran.

"Namun begitu, kita akan terus memantau keadaan semasa untuk memastikan dan menetapkan bilakah tarikh sesuai untuk semua murid-murid dapat hadir ke sekolah tanpa penggiliran.

"Apa yang penting, ketika sesi pembukaan sekolah nanti, KPM berharap ibu bapa, pelajar, guru dan seluruh warga pendidikan dapat bersama-sama memastikan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dipatuhi dengan baik.

"Sama-samalah kita memastikan sesi persekolahan ini dapat berlangsung dengan selamat serta teratur dan anak-anak kita terus dapat datang ke sekolah secara bersemuka, seperti sebelum ini," tuturnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp