Untitled(1)
Untitled(1)

Pelajar UMK terima dana RM375,000, Program TUBE@IPT lahir lebih ramai usahawan siswa

Nor Azma  Muhamat Laila
19 May 2022 02:54pm
A
A
A

KOTA BHARU - Seramai 25 pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menerima geran berjumlah RM15,000 setiap orang bagi menjayakan Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE@IPT) di bawah kelolaan SME Corporation Malaysia (SMECorp).

Program TUBE@IPT ini diselaraskan oleh Institut Perusahaan Kecil dan Sederhana (ISME) dan Institut Keusahawanan UMK (UMKEI) dengan kerjasama SME Corp.

Pengarah ISME, Dr Dzulkifli Mukhtar berkata, TUBE@IPT adalah satu kesinambungan daripada program Tunas Usahawan Belia Bumiputera yang telah dilancarkan pada 2014 dengan peruntukan permulaan berjumlah RM10 juta.

Beliau berkata, program ini telah berkembang dari semasa ke semasa dengan beberapa penambahbaikan yang telah dilaksanakan dan terkini ia telah sampai ke pusingan kelapan dan dikenali sebagai TUBE@IPT.

"Program TUBE@IPT memberi fokus kepada pembangunan keusahawanan dalam kalangan siswa dan siswi mempunyai minat yang mendalam untuk melibatkan diri dalam bidang keusahawanan.

"Pihak ISME UMKEI percaya program ini secara langsung menyokong dasar pembangunan belia negara yang mana keusahawanan merupakan antara bidang tumpuan utama untuk belia maju ke hadapan," katanya pada program Sesi Meet & Greet Bagi Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE)@IPT di Dewan Eksperimental, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, pada Khamis.

Turut hadir, Naib Canselor UMK, Profesor Dr Razli bin Che Razak; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan Dan Inovasi), Profesor Ts Dr Arham Abdullah; Ketua Eksekutif (Pelaksanaan dan Pembangunan) SME Corp Malaysia, Zaki Moh dan Pengarah Kanan, Institut Keusahawanan UMK, Profesor Dr Mohammad Ismail.

Program ini diadakan bagi mengumpul kesemua TUBERs, mentor, mentor bersekutu dan wakil SME Corp untuk sesi penilaian bersama bagi melihat prestasi bakal protégé jutawan di masa depan.

Menurut Dzulkifli lagi, pihak ISME UMKEI percaya program ini secara langsung menyokong dasar pembangunan belia negara yang mana keusahawanan merupakan antara bidang tumpuan utama untuk belia maju di masa depan.

"Antara universiti lain yang terlibat dalam program TUBE@IPT adalah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

"Projek rintis ini akan melatih 160 graduan Bumiputera untuk mereka memulakan perniagaan dan dipantau selama 12 bulan," katanya.

Tambahnya, TUBE@IPT terbahagi kepada tiga fasa utama iaitu melibatkan latihan Boot Camp, Bengkel Asas Perniagaan dan Operasi Perniagaan yang dipantau oleh sistem Buddy atau pementoran.

"Dari segi sektor perniagaan TUBEr, 12 peserta UMK terlibat dalam sektor makananan dan minuman, sektor perkhidmatan (6), pembuatan dan penternakan (2) serta pertanian, perikanan dan perkhidmatan makanan masing-masing membabitkan seorang pelajar," jelasnya.

Ujarnya lagi, sesi penilaian meet and greet adalah berdasarkan tujuh kategori yang berpandukan Garis Panduan Bimbingan dan Pemantauan SME Corp iaitu Pendaftaran Perniagaan, Maklumat Perniagaan, Produk, Operasi dan Pemasaran, Kewangan serta jualan dan perancangan masa hadapan.

"Alhamdulillah, terdapat TUBERs yang telah mempamerkan prestasi memberangsangkan dengan mencapai tahap lima bintang berdasarkan penilaian oleh juri serta panel yang terlibat," katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok