160821-sekolah
160821-sekolah

Pembukaan semula sekolah pada September sangat berisiko – EMIR Research

webadmin
16 Aug 2021 03:43pm
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kanak-kanak mungkin terdedah kepada risiko lebih besar dengan pembukaan semula sekolah yang dijadualkan pada September ini, berikutan kemunculan varian Delta wabak Covid-19 yang mudah menular, demikian menurut badan pemikir bebas EMIR Research.

Ketua Sains dan Teknologi EMIR Research, Ahmad Ameen Mohd Kamal berkata, kumpulan pemikir itu sebelum ini telah mencadangkan bahawa petunjuk paling minimum untuk pembukaan semula sekolah adalah apabila semua penduduk dewasa telah divaksinasi, yang disasarkan menjelang Oktober.

“Bagaimanapun, cadangan ini berdasarkan kepada andaian sebelum ini iaitu kumpulan usia yang lebih muda lebih cenderung untuk tidak menunjukkan gejala teruk, dan mereka yang sudah lengkap divaksin kebanyakan masanya akan dilindungi.

“Namun, kemunculan varian baharu seperti Delta dan kes baru-baru ini membuktikan bahawa ia bukan masalahnya dan kita meletakkan kanak-kanak (dan dewasa terdedah kepada) risiko lebih besar melalui pembukaan sekolah ini,” katanya dalam artikel kajian badan itu bertajuk ‘Very Risky to Reopen Schools in September’.

Ahmad Ameen berkata, golongan berusia bawah 18 tahun, iaitu hampir 30 peratus penduduk Malaysia, adalah kumpulan terbesar tanpa perlindungan.

“Cepat atau lambat, mereka harus dilindungi daripada virus, sama ada menerusi vaksinasi atau imuniti semula jadi. Bagaimanapun, terlalu awal untuk mempertaruhkan nasib mereka,” katanya.

Menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia pada November 2020, Ahmad Ameen berkata, Lembah Klang mempunyai jumlah kanak-kanak bawah 18 tahun paling ramai iaitu 24.4 peratus.

Beliau berkata, Sabah dan Johor mempunyai peratusan penduduk yang lengkap vaksinasi paling rendah setakat 11 Ogos iaitu masing-masing dengan 13.2 peratus dan 16.8 peratus, namun mempunyai penduduk bawah 18 tahun yang kedua dan ketiga tertinggi iaitu masing-masing 12.4 peratus dan 11.6 peratus.

“Berikutan varian yang sangat mudah menular yang menghindari kekebalan tubuh, menyebabkan jangkitan ke atas individu yang telah lengkap divaksin dan imuniti mukosa yang tidak mencukupi yang mencabar konsep tradisional imuniti kelompok, sasaran penduduk dewasa lengkap divaksin menjelang Oktober juga mungkin tidak mencukupi untuk melindungi dewasa dan kanak-kanak - apatah lagi pada awal September?

“Persoalannya kini adalah antara risiko kesan sampingan vaksin berbanding risiko jangkitan dan gejala lebih teruk daripada varian baharu SARS-CoV-2. Difahamkan, banyak ibu bapa tidak bersedia mengambil kesempatan menerusi imuniti semula jadi memandangkan potensi risikonya,” katanya.

Beliau berkata ada ibu bapa yang mahu anak mereka divaksin terlebih dahulu, manakala mereka yang risau dengan jangkitan virus dan kesan sampingan vaksin mungkin memilih untuk mengelakkan anak-anak ke sekolah sehingga mendapat maklumat lanjut dan penyelesaian yang lebih selamat.

“Tambahan pula, cuti sekolah akan bermula pada November. Mengapa mengambil risiko pada September dan Oktober? Justeru, waktu paling cepat untuk pembukaan semula sekolah mungkin awal tahun hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Ameen berkata walaupun didapati golongan muda kurang mendapat gejala lebih teruk oleh jangkitan Delta atau varian lain, kes-kes jangkitan mungkin meningkat apabila sekolah dibuka semula. - BERNAMA

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok