Jafri (empat dari kanan); Farah (tiga dari kanan) dan Meen (kanan) hadir sempena Majlis Prapelancaran Karnival Pendidikan Sinar Bestari di Dewan Karangkraf, Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam, Selangor pada Khamis. Turut kelihatan, Zamri (tiga dari kiri); Airol Fadley (dua dari kiri) dan Nik Justin (kiri). FOTO: ASRIL ASWANDI SHUKOR
Jafri (empat dari kanan); Farah (tiga dari kanan) dan Meen (kanan) hadir sempena Majlis Prapelancaran Karnival Pendidikan Sinar Bestari di Dewan Karangkraf, Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam, Selangor pada Khamis. Turut kelihatan, Zamri (tiga dari kiri); Airol Fadley (dua dari kiri) dan Nik Justin (kiri). FOTO: ASRIL ASWANDI SHUKOR

Pendidikan digital tumpuan utama Karnival Pendidikan Sinar Bestari

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
03 Aug 2023 03:13pm

Era baharu pendidikan hari ini memberi fokus kepada kelancaran maklumat, media dan juga teknologi.

Sehubungan itu, murid-murid perlu diberikan pendedahan kepada penggunaan teknologi seperti audiobooks, teknologi kecerdasan buatan (AI), Augmented Reality (AR), buku interaktif dan teknologi realiti maya (VR) dengan cara lebih dinamik supaya mereka dapat memanfaatkannya sebaik mungkin.

Memandangkan peri pentingnya penggunaan teknologi masa kini, penganjuran Karnival Pendidikan Sinar Bestari 2023 pada 8 hingga 10 September 2023 depan adalah wadah terbaik dalam usaha memupuk kesedaran khalayak terhadap dunia pendidikan yang sedang pesat menuju ke arah pendigitalan.

Ia diakui Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor, Dr Jafri Abu yang mengharapkan karnival tersebut dapat menumpukan kepada konsep karamah insaniah dalam membina generasi baharu yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik bahkan juga sahsiah dan keterampilan.

Kata beliau, pendedahan di luar bilik darjah dalam program seperti ini sangat penting bagi mengasah minat murid selain daripada pendidikan formal dalam bilik darjah.

Kumpulan Qustary dari Sekolah Kebangsaan Sungai Buloh, Selangor mempersembahkan tarian menarik sebelum majlis bermula.
Kumpulan Qustary dari Sekolah Kebangsaan Sungai Buloh, Selangor mempersembahkan tarian menarik sebelum majlis bermula.

Malah ujarnya lagi, karnival yang mengetengahkan tema memacu pendidikan generasi digital itu dilihat sangat relevan dengan generasi sekarang yang lebih terdedah kepada platform pendigitalan bagi memperoleh pelbagai maklumat dengan hanya di hujung jari.

“Tema berkenaan bertepatan dengan tujuh teras utama Kementerian Pendidikan (KPM) dalam menerajui sistem pendidikan negara iaitu Peningkatan Keupayaan Pendidikan Digital di sekolah.

Artikel Berkaitan:

“Justeru, inilah platform paling sesuai untuk melahirkan warga pendidik yang sentiasa bersiap siaga menghadapi gelombang transformasi pendidikan negara,” ujarnya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Prapelancaran Karnival Pendidikan Sinar Bestari di Dewan Karangkraf, Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam, Selangor pada Khamis.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin; Ketua Pengarang Sinar Harian, Zamri Rambli; Pengurus Besar, Jualan Iklan Sinar Harian, Airol Fadley Limin; Ketua Pemasaran dan Penjenamaan Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin; serta barisan Penolong Pengarah, Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan (SSTP) juga Sektor Pembangunan Murid, JPN Selangor.

Dari kiri, Zamri, Airol Fadley dan Nik Justin turut serta pada Majlis Prapelancaran Karnival Pendidikan Sinar Bestari.
Dari kiri, Zamri, Airol Fadley dan Nik Justin turut serta pada Majlis Prapelancaran Karnival Pendidikan Sinar Bestari.

Selain itu, para pengetua, guru besar dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah-sekolah di Selangor juga hadir pada majlis tersebut.

Mengulas lanjut, Jafri berkata, idea penubuhan Kelab TV Pusat Sumber Sekolah (TV PSS) di bawah PSS juga adalah relevan dengan kemajuan media dalam teknologi dewasa ini.

“Dalam TV PSS, murid sekolah rendah dan menengah diberikan bimbingan dan latihan untuk menjadi wartawan ataupun penyampai berita.

“Manakala murid yang mempunyai kemahiran ‘belakang tabir’ seperti jurukamera, penulis skrip dan penerbit rancangan juga turut diasah bakatnya menerusi program tersebut.

“Justeru, program sebegini cukup bagus dan ia merupakan satu platform baik bagi murid membina keterampilan dan keyakinan diri masing-masing,” ujar beliau.

Mengulas berkenaan Karnival Pendidikan Sinar Bestari, Pengarah Projek, Meen Tahrin berkata, karnival julung kali yang diadakan itu merupakan Karnival Pendidikan terbesar di negeri Selangor yang pernah dianjurkan.

Sekumpulan pengetua dan guru besar serta cikgu dari sekolah-sekolah di Selangor yang memeriahkan prapelancaran karnival tersebut.
Sekumpulan pengetua dan guru besar serta cikgu dari sekolah-sekolah di Selangor yang memeriahkan prapelancaran karnival tersebut.

Kata Meen, karnival tersebut diadakan dengan kerjasama antara Sinar Harian, Sinar Bestari; dan juga JPN Selangor.

“Karnival ini terbuka kepada orang ramai dan masuk adalah percuma. Para pengunjung terutama pelajar sekolah boleh menyertai pelbagai pertandingan yang telah kami aturkan dan mereka akan menyertainya melalui penglibatan sekolah masing-masing.

“Pada masa sama, penglibatan pelbagai agensi kerajaan pastinya memberi kelainan dalam karnival pendidikan ini kerana kita dapat melihat dengan lebih dekat peranan masing-masing.

Meen berkongsi secara ringkas perkembangan Karnival Pendidikan Sinar Bestari kepada hadirin.
Meen berkongsi secara ringkas perkembangan Karnival Pendidikan Sinar Bestari kepada hadirin.

“Selain itu, karnival juga dilihat menjadi platform kepada ibu bapa dan juga masyarakat dalam mengenali lebih dekat dunia pendidikan yang berasaskan digital masa kini,” ujarnya yang juga Editor Eksekutif Gaya Hidup dan Hiburan Sinar Harian.

Karnival Pendidikan Sinar Bestari yang berlangsung selama tiga hari bermula pukul 9 pagi hingga 7 petang bakal menampilkan pelbagai aktiviti menarik kepada para pengunjung.

Antaranya demo Unit Beruniform daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Bomba; Pameran Digital Skil dan Kerjaya serta 60 pempamer yang lain seperti Planetarium Negara, Farm Fresh, AirAsia Academy, Grup Buku Karangkraf, Petrosains, Les' Copaque dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).

Selain itu, turut berlangsung SinarPlus Makan Fest, rumah hantu, uji bakat TV PSS, zoo mini dan kereta kuda yang disediakan kepada orang ramai yang hadir.

Turut diadakan juga 17 pertandingan untuk pelajar sekolah seperti robotik, Sinar Bestari Got Talent, bola keranjang, dikir barat, crossword puzzle dan banyak lagi.

Sebahagian pelajar sekolah rendah dan menengah yang datang pada majlis berkenaan.
Sebahagian pelajar sekolah rendah dan menengah yang datang pada majlis berkenaan.

Tidak ketinggalan persembahan silat dan program kids Quran Hour daripada pelajar-pelajar sekolah sekitar negeri Selangor.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bakal merasmikan Karnival Pendidikan Sinar Bestari pada Jumaat, 8 September 2023, pukul 3 petang.

“Selain guru dan pelajar, karnival ini juga memberi peluang kepada ibu bapa dan orang ramai untuk membawa anak mereka sekali gus menyaksikan pelbagai pameran menarik secara percuma,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh layari portal Sinar Bestari, sinarbestari.sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp