Screen-Shot-2021-06-20-at-10.46.41-am-1024x507
Screen-Shot-2021-06-20-at-10.46.41-am-1024x507

Pengambilan guru secara one-off, GGPUA mahu KPM utamakan graduan ISMP isi jawatan guru

Nor Azma  Muhamat Laila
21 Jun 2021 02:22pm
A
A
A

SHAH ALAM - Gerakan Graduan Pendidikan Universiti Awam (GGPUA) mahu keutamaan diberikan kepada graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) universiti awam (UA) yang masih menunggu penempatan sebagai guru bagi mengisi pengambilan khas guru secara 'one off'.

GGPUA melalui kenyataan media yang dikeluarkan berkata, langkah itu dapat membantu menyelesaikan masalah kekurangan guru yang tampak mendesak membabitkan negeri Sabah, Sarawak, Selangor dan Johor.

Menurut GGPUA, pengambilan guru dalam kalangan graduan ISMP UA juga mampu melancarkan urusan pihak Kementerian Pendidikan (KPM) dan pihak sekolah kerana dapat menjimatkan kos merekrut guru baharu memandangkan graduan ini sudah biasa didedahkan dengan alam persekolahan.

"Sejujurnya, perasaan gusar menyelubungi GGPUA sewaktu Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin menyebut pengambilan guru ini turut dibuka kepada graduan yang tidak memiliki ikhtisas perguruan.

"Tindakan ini harus diperhalusi secara kritis agar tidak mendatangkan sebarang pertindihan implikasi terhadap nasib penempatan graduan dalam profesion perguruan di masa depan," katanya.

Negeri-negeri yang mempunyai masalah kekurangan guru.

Semalam, KPM mengumumkan akan membuat pengambilan khas guru secara 'one-off' membabitkan pengambilan sejumlah 18,702 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan gred DG41 bagi mengisi kekosongan guru yang dihadapi di seluruh negara terutama di Sabah, Sarawak, Johor dan Selangor.

Iklan pengambilan itu akan disiarkan pada 7 Julai ini manakala penempatan secara berperingkat dijangka bermula pada Oktober nanti.

Dalam pada itu, GGPUA turut mengemukakan beberapa cadangan lain dan berharap pihaknya dapat duduk semeja dengan menteri untuk memperincikan segala mekanisme yang telah diutarakan malah sedia membantu dalam menjernihkan segala usaha yang berkait rapat dengan isu kekurangan guru di Malaysia.

GGPUA mencadangkan supaya KPM menyerap masuk graduan ISMP UA tanpa mengira opsyen ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK).

KPM juga disaran membuat pengambilan khas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan DG41 (Guru/Opsyen Umum) bagi graduan ISMP UA ke Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK).

"Selain itu, KPM perlu mempertimbangkan opsyen minor untuk urusan pengambilan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan DG41 bagi graduan ISMP UA.

"Kementerian juga perlu mewujudkan tiga subjek pilihan mengajar di portal Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (MySPP) bagi jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan DG41," jelasnya lagi.

Antara mata pelajaran yang mempunyai masalah kekurangan guru.

Mengulas mengenai ketidakpadanan opsyen graduan sesuai dengan keperluan guru di sekolah, GGPUA berkata, terdapat beberapa kursus profesional dalam membantu meningkatkan kemahiran dan pengetahuan guru dari semasa ke semasa seperti Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC), Program Intervensi Tambah Opsyen (PITO) dan sebagainya.

"Graduan ISMP UA juga sudah melalui tapisan kelayakan perguruan sebelum menjejakkan kaki ke universiti melalui Ujian Inventori Pemilihan Pendidik Malaysia (MEdSI), latihan perguruan sepanjang empat tahun pengajian dan latihan mengajar di sekolah.

"GGPUA turut dimaklumkan, terdapat sebilangan graduan pada kohort yang berbeza pula menjalani Program Perantis Guru (PPG)," ujarnya lagi.

Sehubungan itu, GGPUA berpandangan bahawa kesenjangan pengambilan pelajar bagi memenuhi kuota program pengajian pendidikan di universiti awam perlu diselaraskan dengan keperluan opsyen guru berdasarkan unjuran KPM pada setiap tahun.

"Selain itu, GGPUA melihat penyelesaian jangka panjang bagi isu kekurangan guru di sekolah boleh diselesaikan dengan mewujudkan program penyerapan pelajar tahun akhir membabitkan mahasiswa ISMP UA.

"Langkah ini boleh direalisasikan dengan libat urus bersama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan KPM yang menjadi nakhoda bahtera pendidikan negara supaya mampu mencapai satu kata putus bagi merealisasikan hasrat ini," katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok