download (1)
download (1)

Penglibatan belia penting untuk 'remajakan' sektor pertanian

Mohd Khairi Mohamad Yusri
08 Nov 2021 11:50am
A
A
A

ARAU- Persepsi golongan belia terhadap bidang pertanian perlu terus diperbaiki bagi meningkatkan lagi penglibatan mereka dalam bidang itu, sekali gus berupaya untuk 'meremajakan' sektor berkenaan.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Haslina Abdul Hamid berkata berdasarkan kajian, golongan muda dikenal pasti sebagai kelompok utama yang cenderung atau terbuka menerima teknologi-teknologi pertanian moden seperti internet benda (IOT), pertanian persis dan pertanian pintar.

“Penglibatan mereka dalam bidang pertanian juga boleh mengurangkan pengangguran, mengatasi kemiskinan, serta meningkatkan bekalan makanan dalam negara sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan kita kepada import makanan, di masa akan datang,” katanya selepas merasmikan Klinik Usahawan Agro di sini, hari ini.

Haslina berkata setakat ini, daripada 14.6 juta belia di negara ini, hanya 15 peratus yang terlibat dalam bidang pertanian, manakala kajian menunjukkan hanya empat peratus pelajar di universiti yang mempertimbangkan kerjaya dalam bidang itu.

Beliau berkata kementerian memberikan fokus khusus kepada golongan muda antaranya melalui Program Agropreneur Muda yang bertujuan menggalakkan penglibatan individu berumur 18 hingga 40 tahun menceburi bidang pertanian, merentasi semua sub-sektor agromakanan.

Haslina berkata sehingga kini, kementeriannya telah berjaya membantu seramai 7,528 orang agropreneur muda dengan peruntukan lebih RM134 juta melalui kelulusan geran dan pembiayaan di bawah program itu, sejak 2016.

“Jadi rebutlah peluang yang telah disediakan, timbalah ilmu agar kita berjaya di dalam setiap projek dan perniagaan yang kita ceburi,” katanya.

Mengenai Klinik Usahawan Agro pula beliau berkata program itu diadakan untuk membantu usahawan-usahawan muda melalui jabatan dan agensi di bawah kementeriannya, bagi menggalakkan golongan belia menceburi bidang pertanian.

“Program ini juga bertujuan untuk memberi persediaan dari segi ilmu pengetahuan berkaitan projek pertanian dan industri makanan yang ingin diceburi kepada kumpulan sasar, agar mereka boleh menjana pendapatan yang tinggi,” katanya.

Haslina berkata pihaknya juga sentiasa berusaha untuk mengukuhkan penyelidikan dan pembangunan (R&D), bagi meningkatkan produktiviti sektor pertanian. - BERNAMA

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok