Kredit foto: Facebook Kementerian Pendidikan Malaysia
Kredit foto: Facebook Kementerian Pendidikan Malaysia

Penjelasan Fadhlina tentang eleman rasuah dalam sukatan pelajaran, ini kata beliau

ROSHLAWATY MD RAIEH
07 Apr 2023 03:20pm
A
A
A

“Semua sekolah telah diarahkan untuk memasukkan elemen pencegahan rasuah dalam sukatan pelajaran mereka.” Demikian kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Menurutnya, elemen tersebut adalah selaras dengan pekeliling Kementerian Pendidikan (KPM) 1998 yang menumpukan kepada penerapan elemen pencegahan rasuah dalam kurikulum persekolahan.

“Antara langkah yang diambil kementerian mengenai perkara ini adalah memperkukuhkan penerapan nilai-nilai murni merentas kurikulum melalui Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) setiap mata pelajaran serta memperkemas dan memperkukuhkan subjek Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, sekolah juga telah diarahkan supaya memasukkan tajuk-tajuk khusus mengenai keburukan rasuah dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di peringkat menengah atas.

“Bagi subjek Pendidikan Moral dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), nilai kejujuran diterapkan menerusi tajuk Rakyat Jujur Negara Makmur, Tahun Enam.

“Manakala elemen pencegahan rasuah bertajuk Rasuah Musuh Negara dimasukkan dalam kurikulum Tingkatan Satu dan Tingkatan Dua,” katanya menjawab persoalan Tan Kok Wai (Cheras) yang bertanyakan adakah kerajaan bercadang memperkenalkan pendidikan anti rasuah di sekolah rendah dan menengah di Parlimen pada Khamis

Sementara itu, Fadhlina berkata, kementerian turut memasukkan elemen anti rasuah dalam Modul Exemplar Pendidikan Sivik di peringkat rendah dan menengah berdasarkan empat nilai teras iaitu Kasih Sayang, Hormat-menghormati, Bertanggungjawab dan Kegembiraan.

“KPM percaya pendedahan awal berkaitan pendidikan pencegahan rasuah dalam kurikulum persekolahan berupaya mendidik murid-murid untuk mempunyai sikap membenci amalan rasuah,” jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok