Permaisuri Johor yakin kurniaan komputer riba bantu lancarkan pembelajaran pelajar
Permaisuri Johor yakin kurniaan komputer riba bantu lancarkan pembelajaran pelajar

Permaisuri Johor yakin kurniaan komputer riba bantu lancarkan pembelajaran pelajar

webadmin
16 Mar 2021 08:58am
A
A
A

JOHOR BAHRU - Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah yakin para pelajar yang menerima bantuan komputer riba di negeri itu dapat memanfaatkan kurniaan berkenaan sebaik mungkin.

Menerusi hantaran pada laman Facebook The Royal Johor, Raja Zarith Sofiah yang juga Pengerusi Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor menzahirkan rasa prihatin berkenaan isu-isu dan cabaran semasa pendidikan termasuk proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Baginda juga amat memahami cabaran ekonomi semasa serta beban yang ditanggung golongan ibu bapa sekali gus berkenan agar dikurniakan komputer riba kepada pelajar-pelajar berpotensi tinggi daripada keluarga B40 yang tersenarai dalam eKasih daerah Johor Bahru.

"Saya amat berharap kurniaan komputer riba ini dapat membantu melancarkan proses pembelajaran baik di rumah mahupun di sekolah demi meraih kecemerlangan akademik untuk masa depan yang lebih cerah,” titah Permaisuri Johor kepada Royal Press Office, iaitu Pejabat Media dan Komunikasi rasmi Keluarga Diraja Johor, menerusi hantaran berkenaan.

Menurut hantaran terbabit, pada 3 Februari lepas, sebanyak 53 komputer riba diagihkan di bawah fasa pertama hasil perbincangan dengan pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah Johor Bahru, Jabatan Pendidikan Negeri Johor serta Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor.

Fasa kedua yang memanfaatkan 100 penerima pula dimulakan pada 24 Februari lepas, melibatkan pelajar pelbagai bangsa dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (P) Sultan Ibrahim, SMK Taman Tun Aminah, SMK Dato’ Penggawa Timur, SMK Taman Universiti 1 serta beberapa sekolah lain di daerah ini.

Menurut hantaran tersebut, pihak Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor turut mengambil kesempatan merakamkan penghargaan kepada beberapa badan korporat yang menyumbang bagi menjayakan usaha murni berkenaan demi memastikan kelancaran proses pembelajaran para penerima pada waktu penularan pandemik ini.

Artikel menarik

Program NILAM bina keyakinan diri, pupuk budaya membaca murid SK Bukit Rimau

14 tip mudah faham dalam pelajaran, ini rahsia yang boleh pelajar ikut


 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok