hari m3-3
hari m3-3

Pertandingan Rekacipta Inovasi Nasional (PRIN) 2021 capai matlamat, Smart Precision Fertigation System diumum pemenang utama kategori pelajar

Mariatul Qatiah Zakaria
09 Sep 2021 06:29pm
A
A
A

BANGI - Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terpilih sebagai pemenang utama Pertandingan Rekacipta Inovasi Nasional 2021 (PRIN 2021) kategori pelajar melalui projek inovasi Smart Precision Fertigation System.

Ia dibangunkan oleh pelajar-pelajar universiti itu yang terdiri daripada Muhammad Khairuz Zihani Kelana, Hairul Iskandar Hairulnizam, Nur Syuhada Amir, Siti Sarah Nabila Nor Zawawi, Khairul Nabilah Zainul Ariffin, Wan Zakiah Wan Ismail dan Hafizal Mohamad, sekali gus berjaya membawa pulang trofi, wang tunai sebanyak RM500 dan e-sijil.

Pelajar USIM yang menyertai PRIN 2021.

Bagi pemenang utama kategori guru pula, disandang oleh Mohd Razif Abdul Razak, Mohd Azhar Md Saad dan Muhammad Ihzam Khairi.

Ketiga-tiganya masing-masing dari Kolej Melayu Kuala Kangsar, Sekolah Menengah Kebangsaan Simpang Beluru dan Sekolah Kebangsaan Trolak Utara dengan tajuk inovasi Educagator - Educational Content & Collaboration Aggregator.

Pemenang utama kategori guru.

Manakala, bagi kategori pensyarah pula, telah disandang oleh Mardawani Mohamad, Afnan Azzahra’ Ahmad Kamal, Rosmawani Mohammad, Noor Fazliani Shoparwe, Mohamad Najmi Masri dan Teo Pao Ter dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dengan tajuk inovasi AeroM Gel - Herbal Anti - Inflammatory Agents for Skin.

Salah seorang pemenang utama kategori guru.

PRIN 2021 dan Hari Matematik yang dianjurkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama GPSBestari Sinar Harian, sebagai media rasmi telah diadakan secara maya pada 7 hingga 9 September 2021 di beberapa platform dalam talian seperti di Facebook, Google Meets, Twitter dan YouTube.

Menurut Timbalan Naib Canselor, Penyelidikan dan Inovasi, Prof Datuk Ir Dr Abdul Wahab Mohammad, objektif utama PRIN 2021 ialah mengetengahkan inovasi dan penyelidikan yang dihasilkan oleh pelajar, ahli akademik fakulti dan institusi pengajian tinggi (IPT) serta guru di samping memupuk budaya inovasi dan kreativiti mengikut disiplin masing-masing.

Prof Ir Dr Abdul Wahab Mohammad

Tambah beliau, PRIN 2021 juga merupakan platform untuk bertukar idea dan pendapat dalam kalangan peserta, UKM dan juga industri.

“PRIN tahun ini melangkah setapak ke hadapan apabila mendapat penyertaan daripada peserta Indonesia dan ini menyaksikan ia berkemampuan untuk mengendalikan pertandingan yang bertaraf antarabangsa pada masa akan datang.

“Saya berharap penganjuran program seumpamanya dapat diteruskan dan ahli akademik akan turut bersama-sama berusaha meningkatkan kualiti dan kecemerlangan sistem pendidikan di negara ini di samping memenuhi keperluan industri dan masyarakat berkaitan reka cipta, inovasi dan juga kepakaran graduan dalam bidang Matematik.

“Pada masa yang sama, saya juga berharap hasil inovasi ini akan mampu pergi lebih jauh dan diharap para peserta dapat mengkomersialkan produk mereka dan tidak berhenti setakat ini sahaja,” ujarnya ketika berucap pada majlis Perasmian Penutup PRIN dan Hari Matematik, secara maya, di sini, hari ini.

Mendapat penyertaan sebanyak 230 orang yang terdiri daripada 106 kategori pelajar, 95 kategori pensyarah dan 29 kategori guru, kesemua penyertaan telah dinilai secara dalam talian oleh juri-juri yang dilantik dari industri.

Dalam pada itu, menurut Ketua Pengarang Sinar Harian, Rozaid Rahman, inovasi-inovasi hebat ini perlu diketengahkan ke peringkat lebih tinggi pada masa akan datang untuk menyaingi peserta di peringkat global.

“Penganjuran PRIN 2021 secara dalam talian ini membuktikan tidak ada apa yang dapat menghalang jika kita sentiasa berusaha untuk menjadi lebih kreatif menghasilkan inovasi bahkan sentiasa dapat mengadaptasi dengan norma baharu dan keadaan semasa.

“Walaupun tiada pertandingan secara bersemuka, kesemua peserta masih mendapat manfaat daripada pertandingan ini.

“Dengan ini mereka tidak akan ketinggalan dan sentiasa dapat mengasah kemahiran dalam bidang masing-masing,” katanya.

Rozaid Rahman

Hari Matematik 2021

Sementara itu, pelajar-pelajar dari Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Proses, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), UKM, mengungguli pertandingan  Hari Matematik 2021 apabila menyapu bersih ketiga-tiga kedudukan yang dipertandingkan iaitu emas, perak dan gangsa.

Masing-masing membawa pulang hadiah berupa trofi, wang tunai dan e-sijil.

Memperlihatkan kehebatan menghasilkan video-video pengajaran yang interaktif dan kreatif untuk mata pelajaran Matematik, kejayaan kumpulan tersebut dinilai sepenuhnya melalui jumlah like, share dan view yang dimuat naik di media sosial Jabatan Pendidikan Kejuruteraan, YouTube dan Facebook.

Tahun ini Hari Matematik 2021 dianjurkan buat kali keempat dan ia bertujuan untuk memupuk minat pelajar menghayati kursus Matematik dan Kejuruteraan di samping menerapkan serta meningkatkan ilmu pengetahuan pelajar dalam bidang Matematik.

Pada masa yang sama, pertandingan ini  diharap dapat mencungkil bakat dan kebolehan mereka untuk digilap ke peringkat seterusnya.

Hari Matematik juga merupakan platform buat pelajar membincangkan dan membentangkan penemuan mereka mengenai kegunaan Matematik dalam kehidupan seharian.

Menyambung tradisi penganjuran secara tahunan, tahun ini Hari Matematik membawa sedikit kelainan dengan mempertandingkan video kreatif.

Tahun ini Hari Matematik menerima sebanyak 51 penyertaan yang terdiri daripada 12 penyertaan pelajar Jabatan Kejuruteraan Awam (JKA), 20 pelajar Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Proses (JKKP) serta 19 penyertaan pelajar Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Elektronik dan Sistem (JKEES).

PRIN 2021 dan Hari Matematik telah menyaksikan pelbagai inovasi dipertandingkan mengikut kategori masing-masing antaranya kategori reka cipta dan inovasi produk fizikal, reka cipta dan inovasi produk digital, reka cipta dan inovasi sistem automasi serta reka cipta dan inovasi produk fizikal dan digital bagi pengajaran dan pembelajaran (PdP).

PEMENANG PERTANDINGAN HARI MATEMATIK

Tempat Pertama: MD010 - Control Charts

Durga Deivi a/p M Krishnan

Nithyasri a/p Ganesan

Swaathika a/p Suresh

Abbithra Devi a/p Shanmugam Pillai

Suriya Vathi a/p Subramanian

Tempat Kedua: MD053 - Pertandingan Video Kreatif Hari Matematik

Ahmad Luqman Hakim Mohd Zainuddin

Edwin Raj a/l Yanegamani

Nur Zulaikha Mat Kamil

Muhammad Syazwan Syazwie Shamsuddin

Tempat Ketiga: MD018 - Linear Algebra Terserah

Muhammad Shafiq Aiman Mat Saad

Nur Athirah Azmi

Salihin Salman

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok