180821-pteronas
180821-pteronas

Petronas taja 301 pelajar SPM cemerlang menerusi program CSR bernilai RM120 juta

webadmin
18 Aug 2021 08:55pm
A
A
A

KUALA LUMPUR - Petronas di bawah Program Tajaan Pendidikannya (PESP) memperuntukkan lebih daripada RM120 juta untuk diberikan kepada 301 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.

Petronas dalam satu kenyataan menyatakan, tajaan itu bagi membolehkan pelajar cemerlang itu untuk meneruskan pelajaran mereka di Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan universiti-universiti tempatan dan luar negara.

Naib Presiden Kanan Pengurusan Sumber Manusia, Farehana Hanapiah berkata, walaupun dalam keadaan tidak menentu disebabkan pandemik Covid-19, Petronas akan terus melabur dalam pendidikan dan pembangunan insan, untuk memastikan penghasilan pemimpin dan tenaga kerja masa hadapan yang berterusan.

“Komitmen Petronas untuk terus menambah lagi jumlah bakat diteruskan, walaupun dalam keadaan ekonomi dunia yang mencabar. Ia satu usaha yang telah kami lakukan sejak 46 tahun lepas. Kami percaya kepada kuasa dan nilai pendidikan dalam meningkatkan lagi kehidupan dan meneruskan pembangunan negara,” katanya.

Tajaan itu telah diperluaskan kepada bidang seperti Biokimia, Pentadbiran Perniagaan (Pemasaran dan Perdagangan) dan juga Sains Alam Sekirar bagi menyokong agenda tenaga hijau dan kelestarian Petronas.

Tahun ini, penerima PESP dipilih daripada lebih 10,000 pemohon dari seluruh Malaysia, di mana Petronas mengadakan proses pemilihan sepenuhnya secara dalam talian, bagi mematuhi kawalan pergerakan Covid-19, kepada semua calon yang disenarai pendek, dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan kerajaan negeri.

Selain pencapaian pendidikan, PESP juga melihat kepada fokus yang pelbagai, kemahiran kritikal dan pemikiran pada penerimanya, menggalakkan satu budaya yang membolehkan kecergasan dan inovasi bagi mempersiapkan mereka kepada persekitaran kerja yang berubah dengan cepat.

Sejak 1975, lebih daripada 37,000 rakyat Malaysia telah mendapat manfaat daripada PESP dengan tajaan pendidikan bernilai lebih daripada RM3.3 bilion bagi melanjurkan pelajaran dalam pelbagai bidang di universiti tempatan dan  institusi terbaik di Australia, Kanada, China, Jepun, New Zealand, United Kingdom, dan Amerika Syarikat. - BERNAMA

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok