
PM Anwar nasihat calon SPM supaya tenang, yakin kemampuan diri
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) termasuk di kawasan terjejas banjir untuk menghadapi peperiksaan itu dengan tenang dan yakin terhadap kemampuan diri.
"Semoga usaha, doa dan ketabahan kalian mampu membuka pintu kejayaan yang lebih besar untuk masa depan," katanya menerusi hantaran di X hari ini.
Anwar berkata, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan (KPM) dan pihak berkaitan telah siap siaga bagi memastikan setiap calon dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan selamat, tersusun dan terjaga.
Pada hantaran itu, Perdana Menteri berkongsi video tinjauan hari pertama peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 11(1) yang melibatkan 228 calon.
Peperiksaan bertulis SPM 2025 bermula hari ini dengan Bahasa Melayu Kertas 1 melibatkan 413,372 calon mendaftar di 3,350 pusat peperiksaan di seluruh negara.
Peperiksaan SPM berlangsung sehingga 23 Disember nanti.
Setakat pagi tadi, lapan negeri terjejas banjir, iaitu Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah, Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Pahang. - Bernama
Ringkasan AI
- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan calon SPM termasuk di kawasan banjir untuk tenang dan yakin
- Anwar berharap usaha, doa dan ketabahan calon membuka pintu kejayaan
- Kerajaan melalui KPM siap siaga memastikan keamanan peperiksaan
- Peperiksaan bertulis SPM 2025 bermula hari ini dengan 413,372 calon
- Lapan negeri terjejas banjir saat peperiksaan SPM berlangsung