POLIMAS terima 328 pelajar baharu, bukti pendidikan TVET terus menjadi pilihan
JITRA - Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), Kedah menerima 328 pelajar baharu bagi Sesi 2 - 2021/2022 sekali gus membuktikan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) terus menjadi pilihan dalam kalangan pelajar hari ini.
Pengarah POLIMAS, Kamaludin Daud berkata, pihaknya mengucapkan tahniah kepada semua pelajar baharu kerana telah membuat pilihan yang tepat dengan memilih bidang TVET untuk melanjutkan pengajian mereka.
“Di POLIMAS, kita menyediakan program latihan yang seiring dengan perkembangan teknologi dan permintaan pihak industri dan ia dapat dilihat melalui kadar kebolehpasaran graduan yang tinggi, iaitu melebihi 95 peratus, jauh melebihi peratus kebolehpasaran graduan peringkat nasional.
“Selain itu, pelajar juga dibekalkan dengan pengetahuan yang bersesuaian untuk melanjutkan pengajian di peringkat yang lebih tinggi di rangkaian universiti teknikal Malaysia (MTUN),” katanya ketika merasmikan Majlis Penutupan Minggu Suai Kenal Pelajar Baharu POLIMAS, baru-baru ini.
Tambah beliau lagi, pelajar-pelajar baharu perlu mempunyai cita-cita sendiri untuk kejayaan di masa akan datang dan usaha serta komitmen adalah perlu untuk menjiwai apa yang dipelajari.
“Pelajar perlu fokus kepada yang hendak dipelajari dan tetapkan haluan ke mana arah yang perlu dituju untuk membina kerjaya di masa depan,” ujarnya.
Pelbagai aktiviti dilaksanakan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat untuk memperkenalkan POLIMAS kepada pelajar serta memberikan pendedahan mengenai suasana kehidupan baharu sebagai mahasiswa di Institut Pengajian Tinggi (IPT) seperti di POLIMAS.
Sementara itu, pelajar lulusan Sijil Kejuruteraan Mekatronik dari Institut Kemahiran Mara (IKM), Mohammad Syakir Ismawan berkongsi kegembiraan apabila berjaya meneruskan cita-citanya menyambung pengajian ke peringkat diploma di POLIMAS.
“Saya sangat berminat dengan bidang kejuruteraan mekatronik sejak dari pengajian peringkat sijil lagi. Saya sangat gembira dan bersyukur kerana POLIMAS menerima permohonan saya menyambung pelajaran ke peringkat diploma bagi sesi ini.
“Saya berjanji pada diri sendiri akan belajar bersungguh-sungguh untuk menggenggam segulung diploma di akhir pengajian nanti malah saya percaya bidang TVET ini sememang menjanjikan peluang pekerjaan yang luas,” kongsinya.
Seorang lagi pelajar baharu, Nordalilah Mohamad A’amir yang merupakan lulusan Sekolah Menengah Agama (SMA) Sungai Limau, Kedah pula bakal meneruskan pengajian dalam bidang Diploma Kejuruteraan Awam.
Menurut Nordalilah, dia amat meminati bidang kejuruteraan awam dan berpendapat tidak semestinya pelajar dari sekolah agama perlu menyambung pelajaran dalam bidang agama semata-mata.
“Bidang kejuruteraan awam juga merupakan ilmu yang perlu dipelajari dan dituntut dalam Islam,” jelasnya.