rosli
rosli

Politeknik Kota Bharu sumbang 2,000 bubur lambuk untuk warga kampus

Nor Azma  Muhamat Laila
21 Apr 2022 03:01pm
A
A
A

KOTA BHARU - Seramai 180 pelajar Politeknik Kota Bharu (PKB), Kelantan bergotong-royong menyedia dan memasak bubur lambuk untuk diagihkan kepada kakitangan serta warga kampus berkenaan.

Pengarah PKB, Rosli Idris berkata, program yang diadakan dengan kerjasama Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu bertujuan untuk menyemarakan penghayatan bulan Ramadan dengan konsep saling bantu membantu dan bekerjasama.

"Aktiviti yang julung kali diadakan sebagai sebahagian daripada Program Imarah Ramadan PKB bersama PTPTN (IMRAN) ini berjaya menghasilkan 2,000 bekas bubur lambuk dan seterusnya diagihkan kepada kakitangan serta pelajar PKB.

"Selain penyediaan bubur lambuk, beberapa aktiviti lain turut diadakan antaranya tadarus al – Quran membabitkan 300 orang pelajar, kuliah agama dan pemeriksaan kereta secara percuma oleh alumni PKB," katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Rosli Idris.

Majlis perasmian program IMRAN disempurnakan oleh Rosli, bertempat di Masjid Baharu, PKB.

Turut hadir, Pengurus Besar Kanan PTPTN, Rusyaizul Hussin; Timbalan Pengarah Akademik PKB, Ir Mohd Zaidi Che Mod dan Timbalan Pengarah Sokongan Akademik PKB, Saifuddin Semail.

Melalui program ini juga, PTPTN sentiasa bersungguh-sungguh untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat terutamanya melibatkan peranan perbadanan itu dengan mahasiswa dan mahasiswi di institusi pengajian tinggi (IPT).

Ujar Rosli lagi, menerusi aktiviti gotong – royong menyediakan bubur lambuk, para pelajar dilatih untuk bekerja dalam kumpulan dan bersatu dalam menghasilkan sesuatu.

"Tugas diberikan mengikut persatuan dan kelab yang ada di PKB iaitu Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Jawatankuasa Pelajar Kolej Kediaman (JPKK), Pasukan WATANIAH, Pasukan Institusi Pertahanan Awam (PISPA), Briged Rela Siswa Siswi (RELASIS), Pengakap, Kumpulan Latihan Kelana Siswa Malaysia dan juga pelajar jurusan automotif," jelasnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok